Dr  Tee (kiri) bertukar perjanjian dengan Tan sambil disaksikan Pengarah Medini Iskandar Malaysia, Zaida Khalida Shaari, semalam.
Dr Tee (kiri) bertukar perjanjian dengan Tan sambil disaksikan Pengarah Medini Iskandar Malaysia, Zaida Khalida Shaari, semalam.

Pasaran automotif negara terus mendapat perhatian peserta industri global apabila gergasi automotif dari Jerman, BMW menjadikan Malaysia pusat pemasangan enjin dalam usaha mengembangkan pasaran di negara ini dan ASEAN.

Ia direalisasikan menerusi kerjasama BMW Group Malaysia dan Sime Darby Auto Engineering (SDAE) dengan mewujudkan kemudahan pemasangan enjin SDAE di Kulim, Kedah membabitkan pelaburan RM132 juta.

Dibangunkan di kawasan seluas 2.4 hektar, kemudahan itu memiliki ruang keluasan mencecah 8,500 meter persegi dan akan memberi sokongan terhadap perkembangan permintaan BMW Group Malaysia untuk kenderaan pemasangan tempatan (CKD).

Kemudahan hasil pelaburan SDAE yang dilengkapi teknologi pembangunan enjin terbaru itu membantu inisiatif pengeksportan pengeluar kenderaan premium itu ke pasaran serantau.

Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl berkata, SDAE memainkan peranan sebagai rakan kongsi strategik bagi pihaknya di Asia Tenggara.

Beliau berkata, kepentingan itu dicerminkan menerusi prestasi syarikat yang sejajar pencapaian BMW di seluruh dunia.

Katanya, pada suku pertama tahun ini, BMW Group berada dalam landasan terbaik untuk mencapai jualan tertinggi sebanyak 604,629 unit di seluruh dunia, meningkat tiga peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Prestasi positif di seluruh dunia dicerminkan di negara ini apabila BMW Group Malaysia meraih peningkatan jualan 15 peratus bagi kenderaan seperti BMW, MINI dan BMW Motorrad dengan jualan 3,000 unit pada suku pertama tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 10:19 AM