Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan negeri berjaya menarik pelaburan keseluruhan bernilai RM43.6 bilion pada tahun ini sekali gus menjadikan Kedah di tangga pertama berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sektor pengilangan menjadi penyumbang utama daripada jumlah keseluruhan pelaburan iaitu sebanyak RM42.5 bilion manakala RM1.1 bilion dalam sektor perkhidmatan dan industri utama.

"Di sebalik kesuraman ekonomi global disebabkan oleh penularan pandemik Covid-19 pada tahun ini kerajaan negeri berjaya menarik pelaburan keseluruhan sebanyak 43.6 bilion ringgit merangkumi 42.5 bilion ringgit dalam sektor pengilangan, 1.1 bilion ringgit dalam sektor perkhidmatan dan industri utama.

"Antara pelaburan utama pada tahun ini disumbangkan melalui pelaburan dalam bidang tenaga boleh diperbaharui iaitu Risen Solar Technology Sdn Bhd diikuti oleh syarikat Munzing Malaysia Sdn Bhd sebanyak RM55 juta dan syarikat SP Mega Mineral Sdn Bhd sebanyak RM29 juta dan beberapa lagi syarikat lain.

"Pelaburan ini telah membuka peluang pekerjaan sebanyak 4,417 pelbagai jawatan yang bakal dinikmati oleh rakyat Malaysia secara amnya dan Kedah secara khususnya," katanya semasa membentangkan Belanjawan Kedah 2022 di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi, berkata, kerajaan negeri berpandukan Teras Kemakmuran Ekonomi di bawah Pelan Pembangunan Negeri Kedah 2035 (KEDAH2035) menyasarkan beberapa lagi syarikat-syarikat ternama yang akan memilih Kedah sebagai destinasi pelaburan utama pada tahun 2022.

Katanya, antara kawasan yang berpotensi bagi pelaburan baharu di negeri ini adalah Kedah Rubber City (KRC), Kulim Hi Tech Park (KHTP), Kedah Science and Technology Park (KSTP), Special Border Economic Zone (SBEZ), Kulim International Airport (KXP), Kawasan Perindustrian Bukit Selambau, Gurun Industrial Park dan Kawasan Industri Padang Meha.

"Kerajaan negeri dengan kerjasama agensi Kerajaan Persekutuan iaitu Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) turut memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur bagi kawasan-kawasan perindustrian.

"Justeru pada tahun lalu, peruntukan sebanyak RM6.61 juta telah disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi membaik pulih infrastruktur kawasan industri di Kedah," katanya.

Selain itu, susulan daripada peningkatan aliran masuk pelaburan ini, Muhammad Sanusi, berkata kerajaan negeri bersetuju bagi melaksanakan pembesaran Kulim Hi Tech Park (KHTP) Fasa 4A dan Fasa 5 dengan keluasan 281 hektar bagi menampung permintaan daripada pelabur.

Katanya, hasil projek pembesaran ini dijangka sejumlah 15,000 peluang pekerjaan baharu dapat diwujudkan kepada penduduk setempat terutamanya di negeri Kedah.

"Bagi mempercepatkan proses kelulusan kebenaran merancang dan bangunan, kerajaan negeri melalui projek perintis oleh Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK)juga memperkenalkan Permit Pembinaan Ekspress atau E10 yang mampu memproses kelulusan dalam tempoh 10 bulan sahaja," jelas beliau.

Presiden KDA FC, Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO File NSTP
Presiden KDA FC, Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO File NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 12:00 PM