Antara barang kes disyaki digunakan untuk kegiatan penipuan dirampas dalam serbuan ke atas sebuah premis kediaman di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Antara barang kes disyaki digunakan untuk kegiatan penipuan dirampas dalam serbuan ke atas sebuah premis kediaman di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Rahsia sebuah premis kediaman di Jalan Tun Razak di sini, yang dijadikan markas sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto terbongkar selepas diserbu polis semalam yang menyaksikan 24 individu ditahan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, semua ahli sindiket yang ditahan terdiri daripada 34 warga tempatan, lapan warga China serta masing-masing seorang warga Filipina dan Indonesia ditahan dalam operasi berkenaan.

Menurutnya, serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah komersial (JSJK) Bukit Aman susulan maklumat berkaitan kegiatan penipuan dalam talian.

"Siasatan awal mendapati kesemua ahli sindiket ini menawarkan pelaburan mata wang kripto secara pemasaran berbilang tingkat atau 'multi-level marketing' (MLM).

"Semua ahli sindiket yang ditahan berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan dan pengurus dengan tawaran gaji sebanyak RM2,500 hingga RM15,000 sebulan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ashari berkata, ahli sindiket akan memberikan pautan dalam talian kepada sasaran untuk memuat turun satu aplikasi kononnya untuk tujuan pelaburan mata wang kripto.

Katanya, sindiket terbabit dipercayai sudah beroperasi sejak dua bulan lalu.

"Turut dirampas tujuh unit komputer, komputer riba (tujuh), iPad (tujuh), dan 49 telefon bimbit disyaki digunakan untuk menjalankan kegiatan sindiket penipuan.

"Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 12:53 PM