GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Perkhidmatan feri dari Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah ke Langkawi akan ditambah bermula Sabtu ini.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, buat masa ini laluan dari Kuala Kedah masih kekal satu trip.

Beliau berkata, perjalanan dari Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis ke Langkawi pula masih kekal dua trip sehari ketika ini.

"Kita akan menambah trip bagi laluan Kuala Kedah ke Langkawi bermula 16 Oktober ini disebabkan faktor air pasang surut yang berlaku ketika ini.

"Alur pelayaran Kuala Kedah dan Kuala Perlis buat masa ini kembali diliputi oleh lumpur dan saya harap kerja-kerja mendalamkan alur pelayaran ini dapat dilakukan secepat mungkin," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Baharin berkata, pihaknya masih menunggu sama ada prosedur operasi standard (SOP) untuk masuk ke Langkawi masih dikekalkan atau sebaliknya.

Sebelum ini, semua pelancong yang ingin mengunjungi Langkawi diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 sama ada RT-PCR atau RTK-Antigen di mana-mana fasiliti kesihatan serta makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 7:57 PM