AMIRUDIN pada sidang media selepas Majlis Mahabbah Ramadan Menteri Besar Selangor Bersama Penjawat Awam Selangor 2024 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
AMIRUDIN pada sidang media selepas Majlis Mahabbah Ramadan Menteri Besar Selangor Bersama Penjawat Awam Selangor 2024 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Penjawat awam di negeri ini akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebulan gaji atau minimum RM1,000 sempena Aidilfitri.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Bantuan Mahabbah Ramadan itu yang membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM45 juta akan disalurkan pada 8 April depan.

"Sebulan gaji atau minimum RM1,000 kepada semua penjawat awam negeri yang sedang berkhidmat di SUK (bangunan pentadbiran kerajaan negeri).

"Bantuan sama akan diterima dilebarkan penjawat awam kerajaan persekutuan yang berkhidmat bawah SUK," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika berucap di Majlis Mahabbah Ramadan Madani bersama penjawat awam di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Amirudin berkata, penggerak masjid seperti nazir, imam, bilal, siak serta guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) turut menerima bantuan berjumlah RM500.

"Kumpulan pemimpin masyarakat iaitu Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), pegawai perhubungan perkampungan kampung baru, bagan, tersusun serta ketua komuniti India terima elaun sebulan.

"Turut menerima manfaat sama ialah penyelia Pusat Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan Penggerak Belia Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 11:25 AM