Raja Noraina Raja Rahim


Shah Alam: Pemilik bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 yang ditemukan di tempat letak kenderaan sebuah pusat beli-belah di Damansara, Petaling Jaya, disahkan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bagaimanapun polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesahkan pemilik sebenar dan sumber kewangan itu.

"Berdasarkan rakaman CCTV, kita sahkan lelaki yang dirakam keterangan itu adalah individu sama membawa bagasi terbabit. Dia mendakwa bagasi itu dibawa keluar dari apartmen untuk dibawa pulang, namun tertinggal.

"Lelaki itu juga adalah daripada pihak syarikat yang sama membuat laporan polis mendakwa pemilik bagasi sebelum ini," katanya dalam sidang media pada Majlis Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 di Kawasan Rehat Elmina, arah utara di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Ismail dan Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi.

Hussein berkata, polis akan memanggil beberapa lagi saksi untuk mengukuhkan keterangan dan membantu siasatan lanjut.

Katanya, kertas siasatan yang lengkap akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan lanjut.

Pada 19 Mac lalu, pengawal keselamatan sebuah pusat beli-belah menemui bagasi berisi wang tunai berjumlah RM500,000 yang ditinggalkan di parkir sebuah pusat beli-belah di Damansara.

Pengawal keselamatan berkenaan kemudian membuat laporan polis berkaitan penemuan bagasi berwarna merah jambu dan putih bersaiz sederhana kira-kira jam 8 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 9:21 PM
HUSSEIN Omar (empat, kanan) menyampaikan topi keledar kepada penunggang motosikal ketika Majlis Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim.
HUSSEIN Omar (empat, kanan) menyampaikan topi keledar kepada penunggang motosikal ketika Majlis Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim.