PENGUATKUASA merampas ubatan tidak berdaftar dan kosmetik di premis Pasar Borong Pandan Ahad lalu. FOTO Ihsan JKNJ.
PENGUATKUASA merampas ubatan tidak berdaftar dan kosmetik di premis Pasar Borong Pandan Ahad lalu. FOTO Ihsan JKNJ.
Omar Ahmad


Johor Bahru: Cawangan Penguatkuasa Farmasi, Bahagian Perkhidmatan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) merampas sejumlah ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bernilai lebih RM100,000 di Pasar Borong Pandan, Kangkar Tebrau Ahad lalu.

Pengarah JKNJ, Dr Mohtar Pungut berkata, operasi itu dijalankan bermula 8 malam sehingga 12 tengah malam ke atas 17 premis perniagaan.

"Sebanyak 428 item ubat tidak berdaftar dan 120 item kosmetik tidak bernotifikasi dengan KKM yang dianggarkan bernilai RM117,496 dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

"Jika sabit kesalahan, pihak yang berkaitan boleh didenda sehingga RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama dan didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya.

"KKM sentiasa melakukan aktiviti penguatkuasaan bagi premis-premis yang menjual produk-produk kesihatan bagi memastikan hanya produk yang berdaftar dijual di pasaran, "katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, KKM juga menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati semasa membeli sebarang produk kesihatan.

"Pastikan produk kesihatan dan kosmetik yang dibeli di pasaran sentiasa mematuhi keperluan undang-undang yang dikuatkuasakan.

"Orang ramai perlu memastikan ubat-ubatan dan produk kesihatan yang dijual mempunyai Nombor Pendaftaran Produk (MAL) dan pelekat keselamatan Hologram pada label produk sebelum pembelian dibuat.

"Mereka juga boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik dengan melayari https://www.npra.gov.my atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Famasi Negara di talian 03-7883 5400.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 6:01 PM