Datuk Seri Amirudin Shari ketika Penyerahan Sumbangan Alat Peranti dan Perkakasan Sokongan kepada Covid-19 Asessment Centre (CAC) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS). FOTO RUWAIDA MD ZAIN
Datuk Seri Amirudin Shari ketika Penyerahan Sumbangan Alat Peranti dan Perkakasan Sokongan kepada Covid-19 Asessment Centre (CAC) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS). FOTO RUWAIDA MD ZAIN
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kerajaan Negeri Selangor akan melaksanakan pemberian sebanyak 157,000 dos penggalak secara percuma di bawah Program Vaksin Selangor (SelVax) bermula esok menerusi Program SelVax Booster.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penduduk di Selangor berumur 18 tahun ke atas yang sudah menerima dua dos vaksin boleh mendapatkan dos penggalak jenis Sinovac di klinik Selcare berhampiran.

Menurutnya, senarai klinik Selcare bagi program ini boleh didapati di laman sesawang

https://selcareclinic.com/our-clinic/ atau melalui aplikasi SELangkah malah orang ramai juga digalakkan mendaftar terlebih dahulu di laman sesawang berkenaan.

"Semua maklumat penerimaan vaksinasi dos penggalak melalui program ini akan dihantar oleh klinik terbabit melalui aplikasi MySejahtera.

"Program SelVax Booster akan turut dilaksanakan di beberapa lokaliti (on-site) tertentu berdasarkan permintaan Ahli-ahli Dewan Negeri seluruh Selangor.

"Maklumat lanjut berkenaan program SelVax Booster di kawasan DUN akan diumumkan dalam masa terdekat selepas kerajaan negeri memperincikan prosedur standard operasi (SOP)," katanya dalam sidang media di Majlis Gimik Penyerahan Sumbangan Alat Peranti dan Perkakasan Sokongan kepada Covid-19 Asessment Centre (CAC) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), di Foyer SUK, di sini, tadi.

Sementara itu katanya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) meluluskan sejumlah RM 10.7 juta peruntukan bagi melaksanakan Program Pengurusan Covid- 19 Assessment Centre (CAC) dan Pemantauan Pesakit Yang Menjalani Kuarantin Kendiri Melalui Aplikasi SELangkah ke seluruh Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 4:43 PM