BENDERA parti dipasang di Jalan Buli Sim-Sim sempena PRK Sandakan. FOTO Khairull Azry Bidin
BENDERA parti dipasang di Jalan Buli Sim-Sim sempena PRK Sandakan. FOTO Khairull Azry Bidin
BERNAMA

SERAMAI 136 anggota polis ditempatkan di 19 Pusat Mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan yang bermula 7.30 pagi, hari inihingga 5 petang.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, anggota polis berkenaan melakukan kawalan keselamatan di 90 saluran mengundi dan dalam kawasan 20 meter pusat mengundi.

Katanya secara keseluruhannya polis sudah siap sedia menghadapi PRK Sandakan ini.

Segala sumber manusia membabitkan pegawai dan anggota polis digunakan untuk memastikan perjalanan PRK Sandakan berjalan dengan lancar dan selamat, katanya di Sandakan, hari ini.

Berhubung kempen PRK Sandakan yang berakhir 12 tengah malam tadi, beliau berkata, secara keseluruhannya penyokong parti menjalankan kempen secara aman dan harmoni.

Mohd Azhar menasihatkan pengundi keluar mengundi untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

Menurutnya pengundi dinasihatkan keluar awal untuk mengundi dan dan tidak melakukan provokasi serta tidak melakukan kempen semasa mengundi.

Mohd Azhar berharap perjalanan PRK Sandakan berlangsung dalam suasana harmoni dan selamat.

Proses mengundi yang berlangsung selama sembilan jam setengah itu melibatkan 39,684 pengundi biasa yang layak mengundi sebelum proses pengundian ditutup pada 5 petang ini.

Pada 7 Mei lalu, 75 peratus daripada 270 pengundi awal terdiri daripada pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia selesai menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Pemilih berdaftar di Parlimen Sandakan terdiri daripada 51 peratus pengundi Cina dan 45 peratus pengundi bumiputera Islam, manakala selebihnya kaum lain.

Sebanyak 49.48 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi adalah lelaki, manakala pengundi wanita merangkumi 50.52 peratus.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Sandakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 8:33 AM