Siti Aminah Mohd Yusof


Nibong Tebal: Pas optimis mengharungi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap bukan sekadar bersandar kepada calon yang diketengahkan malah pelbagai isu nasional boleh membantu meraih sokongan rakyat untuk berpihak kepada Perikatan Nasional (PN).

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan banyak isu boleh 'membantu' gerak kerja kempen parti gabungan itu dalam berdepan pertembungan satu lawan satu antara PN dan Pakatan Harapan pada PRK kali ini.

"Banyak isu-isu nasional yang boleh membantu kita Insya-Allah yang rakyat terasa betul dengan apa yang berlaku hari ini dan boleh memberi dukungan kepada kita (PN)," katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon PRK Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Jawi di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu turut percaya calon ditampilkan iaitu Abidin Ismail, 56, dapat terus meraih sokongan rakyat bersandarkan pencapaian baik yang ditinggalkan Allahyarham Nor Zamri Latiff sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat.

"Insya-Allah kita berserahkan pencapaian wakil rakyat kita, Allahyarham (Nor Zamri) yang meninggalkan pencapaian yang baik dan banyak mendapat sokongan dukungan.

"Calon kita adalah pembantu kepada wakil rakyat kita (sebelum ini) yang menjalankan tugas dan akan sambung tugas beliau (Nor Zamri)," katanya

Sementara itu, Abidin ketika ditanya tentang peluang memenangi kerusi Sungai Bakap berkata, beliau mendapat sambutan dan sokongan yang baik ketika turun padang bertemu pengundi sejak diumumkan sebagai calon minggu lalu.

"Kita cuba mendekati pengundi sebaik mungkin, tanya khabar Alhamdulillah saya pun dah pernah bersama dengan arwah Abang Zam (Nor Zamri).

"Jadi tak timbul (masalah) untuk kita bersama masyarakat dan akan teruskan turun padang untuk mendekati pengundi," katanya.

Terdahulu Pegawai Pengurus Pilihan Raya Khairulnizam Hashim mengumumkan calon yang layak bertanding selepas proses penamaan calon tamat pada 10 pagi tadi dengan Abidin bakal berentap dengan calon PH yang mewakili Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari Ariffin

Selepas selesai proses penamaan, maka bermulalah proses kempen selama 14 bermula hari ini.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Julai ini bagi tarikh mengundi awal dan 6 Julai sebagai hari mengundi.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 12:55 PM