ANGGOTA penyelamat mengusung wanita di kawasan terjejas banjir di Jakarta. FOTO Reuters
ANGGOTA penyelamat mengusung wanita di kawasan terjejas banjir di Jakarta. FOTO Reuters
AFP

JAKARTA: Agensi Bencana Indonesia pada Khamis mengesahkan 23 maut dalam maut dalam banjir dan tanah runtuh ekoran hujan lebat di beberapa wilayah sejak kelmarin.

Daripada jumlah itu, seramai 21 orang dilaporkan maut di Jakarta, manakala selebihnya di Lebak, selatan Pulau Jawa.

Polis juga sudah menggerakkan pasukan penyelamat untuk mengesan lapan lagi penduduk di Lebak yang dikhuatiri masih hilang.

Ribuan mangsa banjir kini ditempatkan di pusat penempatan sementara memandangkan rumah yang didiami sebelum ini mengalami kerosakan teruk.

Imej berjaya dirakamkan di kawasan terjejas menunjukkan rumah dan kenderaan diselaputi lumpur selain terdapat penduduk yang menggunakan bot kecil dan pelampung getah untuk keluar dari kawasan terjejas.

Pasukan penyelamat menggunakan bot untuk menyelamat penduduk antaranya kanak-kanak dan warga emas yang masih

terperangkap di rumah masing-masing.

Mangsa yang meninggal dunia disahkan akibat lemas, hipotermia selain terperangkap dalam kejadian tanah runtuh manakala seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut akibat renjatan elektrik.

Penduduk yang dikenali sebagai Munarsih menganggap banjir kali ini berlaku tanpa sebarang amaran sehingga menyebabkan penduduk tidak sempat untuk menyelamatkan diri dan harta benda.

“Banjir melanda tanpa amaran dan aliran air yang deras menyebabkan kami tidak sempat menyelamatkan harta termasuk kereta,” katanya.

Pihak berkuasa negara itu pada Khamis memaklumkan 31,000 penduduk sudah diselamatkan.

Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan mengesahkan Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma sudah dibenarkan beroperasi hari ini, selepas landasan ditenggelami air sejak kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 5:54 PM