RICK (duduk, kiri sekali) selamat dibawa turun oleh pasukan SAR di pusat kawalan operasi. FOTO Ihsan Polis
RICK (duduk, kiri sekali) selamat dibawa turun oleh pasukan SAR di pusat kawalan operasi. FOTO Ihsan Polis
Hamzah Osman


Langkawi: Seorang lelaki warga Belanda yang dilaporkan terkandas selama tujuh jam di laluan menuju Gunung Machinchang berhampiran kawasan rekreasi Air Terjun Telaga Tujuh di sini, berjaya diselamatkan awal pagi tadi.

Mangsa, Staal Rick, 38, dilaporkan terkandas bermula 7.30 malam sebelum ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 2.50 pagi dalam keadaan keletihan.

Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya menerima maklumat kecemasan lelaki warga asing itu tidak dapat turun dari laluan Gunung Machinchang pada 7.47 malam.

"Sejurus itu operasi SAR dilancarkan, satu pusat kawalan operasi didirikan di parkir kawasan rekreasi bagi memudahkan operasi mengesan mangsa.

"Mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat di pertengahan laluan ke Gunung Matcincang berhampiran Kem Tok Ayah dan selamat dibawa turun pada 2.50 pagi," ," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai berhati-hati mendaki kawasan Gunung Machinchang, khususnya di Air Terjun Telaga Tujuh berikutan cuaca hujan ketika ini, selain tidak melakukan pendakian selepas 5 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 4:59 PM