Oleh Hamzah Osman


Langkawi: Seramai 44 pengunjung kawasan rekreasi air terjun Telaga Tujuh di sini, dilaporkan terperangkap akibat fenomena kepala air yang berlaku pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu kumpulan pengunjung terbabit dikatakan datang untuk mandi di kawasan air terjun berkenaan sebelum cuaca hujan lebat.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata pihaknya mendapat maklumat berkaitan orang awam terperangkap di kawasan terbabit pada jam 10.35 pagi.

"Setakat ini, kita dimaklumkan seramai 44 mangsa terperangkap di kawasan air terjun Telaga Tujuh.

"Pihak bomba dan polis telah berada di lokasi bagi memberi bantuan dengan operasi menyelamatkan semua mangsa masih dilakukan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Difahamkan, pasukan penyelamat berhadapan kesukaran untuk masuk ke lokasi kejadian berikutan berlaku fenomena kepala air dan limpahan sungai di kawasan sekitar.

Pasukan penyelamat terdiri polis dan bomba berusaha menyelamatkan 44 pengunjung yang terperangkap di Air Terjun Telaga Tujuh, Langkawi. FOTO IHSAN POLIS
Pasukan penyelamat terdiri polis dan bomba berusaha menyelamatkan 44 pengunjung yang terperangkap di Air Terjun Telaga Tujuh, Langkawi. FOTO IHSAN POLIS

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 2:48 PM