Keputusan permohonan kemasukan ke IPTA, ILKA lepasan SPM diumum 28 Jun.
Keputusan permohonan kemasukan ke IPTA, ILKA lepasan SPM diumum 28 Jun.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan pada 28 Jun ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa keputusan bagi pengajian ke universiti awam (UA), politeknik, Kolej Komuniti (KK) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) peringkat sijil, asasi dan diploma Sesi Akademik 2024/2025 boleh disemak mulai 12 tengah hari pada tarikh berkenaan hingga 5 petang 7 Julai.

"Keputusan boleh disemak secara dalam talian melalui pautan https://jpt.utm.my, https://jpt.uum.edu.my, https://jpt.unimas.my, https://jpt.ums.edu.my dan https://jpt.umt.edu.my, atau melalui aplikasi mudah alih UPUPocket di telefon pintar," menurut kenyataan itu.

Menurut KPT, pengesahan setuju terima tawaran bermula pada 29 Jun hingga 7 Julai ini menerusi laman web IPTA dan ILKA.

Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh IPTA dan ILKA kepada yang berjayamulai 29 Jun setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang dinyatakan.

Untuk pemohon yang tidak berjaya atau mendapat tawaran pengajian peringkat sijil sahaja, permohonan rayuan boleh dikemukakan melalui Unit Pusat Universiti (UPU) bagi kemasukan ke UA dan politeknik di https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 10 hari mulai 12 tengah hari pada 28 Jun hingga 5 petang 7 Julai.

"Rayuan ke Kolej Komuniti dan ILKA boleh dimajukan terus ke institusi berkenaan tanpa melalui UPUOnline. Tawaran tempat bagi Sesi Akademik 2024/2025 adalah muktamad dan sebarangpermohonan pertukaran program pengajian dan IPTA/ILKA tidak dibenarkan.

"Dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan," menurut kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan berkenaan permohonan UPUOnline boleh dimajukan ke Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA secara terus di Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA Jabatan Pendidikan Tinggi atau melalui nombor telefon 03-8684 2363 dan e-mel [email protected].

Layari platform media sosial Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA menerusi Facebook, Instagram dan TikTok untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 12:37 PM