Tun Daim Zainuddin.
Tun Daim Zainuddin.
Oleh Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan keluarga memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah memaksa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membatalkan pembekuan akaun bank mereka.

Mereka memohon perintah untuk membatalkan tindakan SPRM menyita harta alih itu yang dikenakan mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLACFT).

Selain Daim, turut dinamakan sebagai pemohon dalam permohonan kebenaran itu ialah isterinya, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid dan anak mereka, iaitu Asnida, Wira Dani dan Muhammad Amir Zainuddin dan Muhammad Amin serta 18 syarikat.

Syarikat itu ialah Aad Equity Sdn Bhd, Yayasan Haji Zainuddin, Ilham Baru Sdn Bhd, Anchor Point Sdn Bhd, Kangkung Catering Sdn Bhd, Adrihaniz Sdn Bhd, Syarikat Maluri Sdn Bhd, Amiraz Sdn Bhd, Ridana Sdn Bhd, Daan Sdn Bhd, Maya Seni Holdings Sdn Bhd, Magical Zone Sdn Bhd.

Permatang Maju Sdn Bhd, Brainstorms Sdn Bhd, Arida Farms Sdn Bhd, Gajah3 Resource Centre Sdn Bhd, Ilham Tower Sdn Bhd dan Selidik Jaya Sdn Bhd.

Permohonan kebenaran terbabit difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Jun lalu yang akan ditetapkan untuk didengar esok.

Semua pemohon menamakan Penolong Penguasa Sektor Sasaran Operasi Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta(AMLFOP) SPRM, Haris Fadhila Sukaime; Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin; Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki; SPRM, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan Kerajaan Malaysia, sebagai responden.

Mereka juga memohon perisytiharan bahawa tindakan penyitaan harta alih yang dikenakan SPRM mengikut Seksyen 50 Akta AMLACFT dan semua tindakan serta keputusan diambil responden pertama hingga keempat adalah tidak sah dan terbatal.

Ia adalah kerana menurut pemohon, ia melanggar hak perlembagaan mereka, menyalahi undang-undang , tidak rasional, tidak mengikut tatacara, tidak dibuat dengan suci hati,cberniat jahat (mala fide), dan satu penyalahgunaan proses undang-undang serta kuasa oleh responden pertama hingga keempat.

Turut dipohon, ialah perintah supaya ganti rugi dan kos untuk ditaksirkan menurut Seksyen 44 (6) Akta AMLACFT, ganti rugi am dan teladan, kos serta perintah lain yang difikirkan wajar okeh mahkamah.

Sementara itu, Na'imah melalui afidavit sokongan bagi menyokong permohonan itu, berkata mereka sekeluarga terjejas berikutan tindakan SPRM menyita akaun terbabit.

Beliau berkata, keputusan dan tindakan itu disengajakan untuk menyasarkan beliau dan keluarganya, dengan mendakwa mereka keluarga korup dan membuat kekayaan dengan cara yang salah di sisi undang-undang.

Katanya, beliau dinasihati oleh peguam dan percaya bahawa segala keputusan serta tindakan SPRM adalah bagi tujuan sampingan politik semata-mata.

Na'imah menegaskan sehingga hari ini, mereka tidak didakwa di mahkamah atas kesalahan berkaitan Akta AMLACFT.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 12:32 PM