Tommy Thomas hadir ke mahkamah mewakili bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin untuk permohonan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman oleh Tun Daim dan keluarganya bagi mencabar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terhadap mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO FATHIL ASRI.
Tommy Thomas hadir ke mahkamah mewakili bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin untuk permohonan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman oleh Tun Daim dan keluarganya bagi mencabar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terhadap mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO FATHIL ASRI.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Peguam Negara (AG) menegaskan agensi penguatkuasaan tidak akan dapat menyelesaikan siasatan jenayah jika bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin diberikan kebenaran untuk mencabar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan berkata, siasatan akan terganggu dan tidak akan selesai jika semakan kehakiman difailkan pihak terbabit untuk mencabar siasatan agensi penguatkuasaan dibenarkan.

"Dalam semua kes, mahkamah berkali-kali mengulangi bahawa kuasa penyiasatan tidak boleh dicabar dan jika dibenarkan akan mengganggu proses penyiasatan.

"Jika semakan kehakiman difailkan dalam setiap kes, siasatan tidak akan dapat diselesaikan.

"Kami kemukakan hujah bahawa kuasa siasatan tidak boleh disemak semula oleh mahkamah ini," katanya.

Shamsul yang mewakili SPRM dan Pendakwa Raya selaku responden pertama dan kedua berkata, permohonan semakan kehakiman akan membuka lebih banyak ruang untuk mencabar setiap pelaksanaan fungsi sedemikian yang membawa kepada huru-hara dan kekacauan awam.

Sementara itu, peguam Daim dan keluarga, Tan Sri Tommy Thomas dalam hujahnya mempersoalkan tindakan SPRM menjalankan siasatan selepas 22 tahun pemimpin itu meninggalkan perkhidmatan awam.

"Penyiasatan ini timbul daripada maklumat dalam Kertas Pandora bahawa Daim dan keluarganya kaya raya, fakta yang diketahui oleh orang ramai sebelum ini.

"Daim dan keluarganya terjejas teruk oleh siasatan SPRM yang berlanjutan," katanya.

Thomas berkata, SPRM tiada sebab munasabah untuk mengesyaki atau mempercayai bahawa Daim melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM.

"Kertas Pandora tidak mendedahkan sebarang kesalahan Daim di bawah undang-undang Malaysia.

"SPRM juga bertindak secara tidak sah apabila mengeluarkan 36 notis di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM kepada Daim dan ahli keluarganya supaya mendedahkan maklumat mengenai harta mereka yang berkaitan dengan kesalahan di bawah akta agensi penguatkuasaan itu," katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menetapkan 4 Mac ini bagi keputusan permohonan itu.

Daim atau nama penuhnya, Che Abdul Daim Zainuddin memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar siasatan SPRM pada 10 Januari lalu, melalui firma guaman, Tetuan Tommy Thomas.

Turut dinamakan sebagai pemohon ialah isteri Daim, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid dan empat anak mereka iaitu Asnida, Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin serta Ilham Tower Sdn Bhd, manakala SPRM dan Pendakwa Raya selaku responden.

Dalam permohonan itu, Daim dan keluarga memohon perisytiharan bahawa SPRM serta pegawainya tiada sebab munasabah untuk menjalankan siasatan bermula Februari 2023, yang akan membawa kepada pendakwaan terhadap mereka.

Jika mahkamah memberikan kebenaran itu, Daim dan keluarga memohon perintah supaya SPRM dan pegawainya menghentikan semua siasatan mengikut Aturan 53 Kaedah 3(8) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Melalui afidavit sokongan dalam permohonan berkenaan pula, Daim mendakwa dirinya adalah ahli perniagaan kaya dan berjaya sebelum menyertai politik dan menjawat jawatan awam.

Pada masa sama, bekas menteri itu mendakwa tiada tindakan dan siasatan dibuat terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, walaupun mereka dinamakan dalam Kertas Pandora.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 3:24 PM