MUHIBBUDIN maut dalam kemalangan di simpang Taman Ayer Keroh Height (TAKH), Jalan Tun Abdul Razak. FOTO ihsan IPD Melaka Tengah
MUHIBBUDIN maut dalam kemalangan di simpang Taman Ayer Keroh Height (TAKH), Jalan Tun Abdul Razak. FOTO ihsan IPD Melaka Tengah
Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Pekerja kilang kaca maut manakala rakannya parah sejurus motosikal ditunggang melanggar kereta memasuki simpang di Taman Ayer Keroh Height (TAKH), Jalan Tun Abdul Razak, di sini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, nahas berlaku kira-kira jam 10.30 malam tadi membabitkan motosikal Yamaha 135LC dinaiki mangsa dengan sebuah kereta Perodua Myvi dipandu lelaki warga emas berusia 77 tahun.

Katanya, motosikal itu datang dari Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menghala ke Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), manakala kereta dari arah MITC menuju ke TAKH.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta berkenaan membelok ke kanan untuk masuk ke simpang TAKH.

"Mangsa, Muhibbuddin Fitri Farid, 19, tidak tidak sempat mengelak sebelum melanggar bahagian hadapan kiri kereta menyebabkan dia terjatuh.

"Akibat pelanggaran itu, penunggang mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Pemboncengnya, Nor Natasha Mohd Faizul, 17, yang bekerja di sebuah pasar raya di Bachang di sini, parah di bahagian kepala dan kini dirawat di zon merah Hospital Melaka," katanya.

Christopher berkata, kejadian itu turut menyebabkan pemandu kereta terbabit mengalami luka pada bahagian muka.

"Mayat mangsa dibawa Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

"Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil membuat laporan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2024 @ 3:07 PM