RAKAMAN CCTV menunjukkan seorang lelaki mencuri pakaian dalam di ampaian sebuah rumah. FOTO tular
RAKAMAN CCTV menunjukkan seorang lelaki mencuri pakaian dalam di ampaian sebuah rumah. FOTO tular
Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: Polis sedang mengesan seorang lelaki disyaki mencuri pakaian dalam wanita di Taman Melor 2, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berhubung kejadian itu pada 10.55 pagi.

"Berdasarkan laporan yang diterima, wanita berkenaan menyedari pakaian dalamnya yang disidai di ampaian di ruang parkir rumahnya hilang.

"Wanita itu kemudiannya memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tamannya.

"Di dalam rakaman itu, kelihatan seorang lelaki tidak dikenali mengambil pakaian dalam miliknya di ampaian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, suspek kemudiannya beredar dari rumah wanita itu dengan menunggang motosikal.

"Sehubungan itu, polis memohon orang awam yang mempunyai maklumat tentang kes ini supaya tampil di mana-mana balai polis untuk menyalurkan maklumat kepada polis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 347 Kanun Keseksaan serta Seksyen 509 kanun sama," katanya.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 34 saat di media sosial memaparkan seorang lelaki yang menunggang motosikal berhenti di pagar sebuah rumah lalu mencuri pakaian dalam wanita yang disidai di ampaian pada 3.24 pagi

Suspek kemudiannya bergegas meninggalkan rumah berkenaan dengan menunggang motosikalnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 4:55 PM