Ejen hartanah, Yau Hon Choong, 42, didakwa di Mahkamah Majistret atas tiga pertuduhan memperdayakan dan menipu tiga mangsa dalam urusan sewa premis yang tidak wujud membabitkan kerugian RM19,250, Mac dan April lalu. FOTO AZRUL EDHAM
Ejen hartanah, Yau Hon Choong, 42, didakwa di Mahkamah Majistret atas tiga pertuduhan memperdayakan dan menipu tiga mangsa dalam urusan sewa premis yang tidak wujud membabitkan kerugian RM19,250, Mac dan April lalu. FOTO AZRUL EDHAM
Ahmad Hasbi


Seremban: Ejen hartanah didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, tadi, atas tiga pertuduhan memperdaya dan menipu tiga mangsa dalam urusan sewa premis tidak wujud membabitkan kerugian RM19,250 antara Mac dan April lalu.

Tertuduh, Yau Hon Choong, 42, mengaku bersalah bagi dua pertuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan. Manakala bagi kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syed Farid Syed Ali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdayakan seorang wanita dalam urusan sewaan lot kedai di Lorong Haruan Oakland di Seremban dengan menyatakan kononnya boleh mendapatkan rumah kedai bagi tujuan perniagaan.

Tindakan itu mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM7,050 secara tunai dan pindahan secara atas talian ke dalam akaun bank tertuduh pada 24 hingga 25 April lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut memperdaya seorang lelaki membayar berjumlah RM9,200 bagi urusan sewa bangunan kedai di Medan Perniagaan Senawang Jaya yang tidak wujud.

Kesalahan itu dilakukan di Medan Perniagaan Senawang Jaya pada 15 Mac lalu.

Sehubungan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara boleh sampai lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan ini, tertuduh didenda RM9,000 bagi setiap pertuduhan dan jika gagal bayar, boleh dipenjara selama sembilan bulan.

Terdahulu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan secara tidak jujur mendorong seorang wanita untuk membuat transaksi atas talian berjumlah RM3,000 bagi urusan sewa bangunan kedai di Pusat Perniagaan Templer Seremban yang tidak wujud.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 dan sebutan semula 25 Julai depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M Pusppa manakala tertuduh diwakili Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), P A Krishnaveni.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 1:14 PM