Ekhwan Haque Fazlul Haque


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak menahan lima individu termasuk dua Penolong Pengarah Kanan Biro Tata Negara (BTN), hari ini kerana disyaki membuat tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM600,000.

Suspek masing-masing tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 34 hingga 55 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sarawak, jam 4.30 petang.

Difahamkan, tiga daripada suspek berkhidmat di BTN Sarawak sebelum ini, namun kini sudah berpindah ke jabatan lain serta bersara.

Sumber berkata, suspek dipercayai bersubahat dengan 43 buah syarikat di seluruh negeri ini apabila mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu untuk membuat tuntutan pembayaran kerja.

Katanya, jumlah tuntutan bagi setiap kerja didakwa bernilai antara RM2,000 hingga RM6,000.

“Pembayaran tuntutan dibuat suspek dimasukkan ke dalam beberapa akaun pemilik syarikat pada 2016 dan semua suspek dipercayai mengambil keuntungan daripada setiap syarikat yang pilih.

“Siasatan juga mendapati kira-kira 70 peratus perkhidmatan atau pembekalan yang dilakukan oleh syarikat terbabit kepada pihak BTN tidak wujud atau tidak dilaksanakan dalam tempoh seperti dinyatakan dalam tuntutan,” katanya.

Katanya, semua suspek mempunyai kawalan ke atas akaun BTN dan menggunakan wang itu untuk urusan peribadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak Razim Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan tangkapan, berkata pihaknya dalam proses mendapatkan dokumen berhubung pembayaran yang dibuat BTN kepada syarikat berkenaan.

Katanya, suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Suspek akan dibawa keMahkamah Majistret Kuching, esok untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 6:32 PM