Asmah Rusman


Kuala Lumpur: “Impian kami mahu melihat bayi sulung membesar sihat seperti kanak-kanak lain,” kata Alfred Lum Jia Yang, 34, bapa bayi berusia lima bulan, Derek Lum Seng Hoi yang menghidap jantung berlubang sejak dilahirkan.

Derek memerlukan RM60,000 untuk membiayai kos pembedahan bagi menutup lubang pada jantungnya yang berukuran 13 milimeter (mm) di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur.

Alfred berkata, dia dan isteri, Natalie Cheah Jo Yan, 37, mendapat tahu bayi mereka mempunyai masalah jantung berlubang 48 jam selepas dilahirkan.

“Doktor beritahu Derek perlu pembedahan segera kerana kelewatan rawatan boleh menyebabkan dia mengalami pelbagai komplikasi.

“Sebelum ini, dia menjalani rawatan di Hospital Pandan Indah sebelum dipindahkan ke Hospital Ampang dan dalam tempoh itu sudah dua kali Derek sesak nafas,” katanya di Hospital Gleneagles, di sini, semalam.

Menurutnya, sebaik diberitahu anaknya menghidap penyakit itu, dia dan isteri bukan saja terkejut, malah isterinya yang berpantang turut mengalami tekanan perasaan.

“Kami tak sanggup melihat tubuh badan anak yang masih kecil dipenuhi wayar, malah dua kali dia diberikan bantuan pernafasan kerana sesak nafas.

“Sepanjang tempoh kritikal itu, kami langsung tidak berpeluang memegang Derek, apatah lagi membelainya,” katanya.

Katanya, mereka sangat berharap bantuan orang ramai kerana isterinya sudah berhenti kerja demi menjaga anak mereka itu.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghantar cek atas nama Tabung Kebajikan Media Prima NSTP ke alamat Bahagian Kumpulan Komunikasi Korporat, Media Prima Berhad, Tingkat 1, Anjung Riong, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur dengan menulis nama bayi itu di belakang cek atau ke akaun Maybank 5141-0532-3170.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 7:16 AM