Badaruddin (kanan) dan Mohd Ghazali (kiri) bergambar bersama pelajar cemerlang STAM 2023.- FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
Badaruddin (kanan) dan Mohd Ghazali (kiri) bergambar bersama pelajar cemerlang STAM 2023.- FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2023 bagi Melaka merekodkan peningkatan dengan memperoleh Gred Purata Negeri (GPN) 2.99 mengatasi Gred Purata Kebangsaan (GPK) 3.09.

Ketika mengumumkan keputusan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, pencapaian itu hasil usaha semua pihak termasuk sekolah dan ibu bapa serta pelajar.

"Secara keseluruhan keputusan STAM Melaka 2023 sangat baik, syukur Alhamdulillah terdapat peningkatan GPN iaitu 2.99 berbanding tahun sebelumnya 3.08.

"Pencapaian ini didorong pelbagai faktor seperti motivasi, pelbagai bantuan oleh kerajaan negeri dan usaha pihak sekolah, ibu bapa dan termasuk pelajar itu sendiri.

"Alhamdulillah, negeri Melaka dari tahun ke tahun meningkat keputusan peperiksaannya termasuk STAM.

"Bagi pihak kerajaan negeri kita akan terus memberikan kerjasama melaksanakan pelbagai program pendidikan khasnya untuk STAM dan mana-mana peperiksaan berkaitan," katanya kepada media pada Majlis Apresiasi Peperiksaan STAM 2023 di Pejabat Pendidikan Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka, Datuk Badaruddin Mohd Kassim dan Pengarah Pendidikan Negeri Melaka, Mohd Ghazali Ahmad.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, keseluruhan calon berdaftar mengambil STAM 2023 seramai 90 orang berbanding 78 pada 2022.

Katanya, 73 orang adalah calon di tiga Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di bawah JAIM iaitu, Sekolah Menengah Arab (SMA) Al-Ahmadi, SMA Al-Asyraf dan SMA Assyakirin, manakala bakinya calon persendirian seramai 17 orang.

"Daripada 73 calon SABK itu seramai tiga calon memperoleh gred Mumtaz (cemerlang) berbanding dua orang pada 2022.

"Calon yang memperoleh gred Jayyid Jiddan (sangat baik) pula seramai 18 orang diikuti Jayyid (25) dan Maqbul (empat), manakala 12 mendapat Rasib atau gagal," katanya.

Beliau berkata, bilangan calon lulus dan layak mendapat sijil juga meningkat kepada 50 orang berbanding 43 pada tahun sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 4:36 PM