FOTO ihsan Bomba
FOTO ihsan Bomba
Oleh Azlan Hafeedz


Pasir Puteh: Sebuah ambulans yang diletakkan di perkarangan Klinik Kesihatan Selising di sini, terbakar dipercayai akibat masalah enjin kira-kira 2 petang tadi.

Difahamkan ketika kejadian, pemandu ambulans sedang memanaskan enjin kenderaan itu untuk menghantar bayi berusia enam bulan ke Hospital Tengku Anis, di sini.

Bagaimanapun, bahagian enjin kenderaan itu tiba-tiba berasap teruk sebelum terbakar, namun tidak merebak ke bangunan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.01 petang dan bergegas ke lokasi dengan kekuatan 14 anggota termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh.

"Ketika tiba, api sedang marak dan kami mengambil masa 18 minit untuk memadamkan kebakaran.

"Tiada kemalangan jiwa dan kebakaran juga tidak merebak ke bangunan kerana jaraknya yang jauh," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan punca kebakaran akibat masalah enjin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 6:14 PM