Video fitnah TikTok yang tular oleh suspek yang memaparkan polis trafik sedang menjalankan tugas dengan memberikan saman kepada suspek di Jalan Alor Setar-Kangar berhampiran Simpang Empat, Kangar. FOTO IHSAN PDRM
Video fitnah TikTok yang tular oleh suspek yang memaparkan polis trafik sedang menjalankan tugas dengan memberikan saman kepada suspek di Jalan Alor Setar-Kangar berhampiran Simpang Empat, Kangar. FOTO IHSAN PDRM
Aizat Sharif

Kangar: Seorang penghantar baja Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) direman sehingga esok kerana didakwa membuat hantaran video fitnah dan aib di aplikasi TikTok terhadap anggota polis trafik yang sedang menjalankan tugas di Jalan Kangar-Alor Setar pada Sabtu lalu.

Penahanan lelaki berusia 39 tahun itu dibuat di kediamannya di Jitra pada hari yang sama selepas hantaran video itu tular dalam platform media sosial berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kangar Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, suspek ditahan berhubung kejadian mengenai satu hantaran video di laman sosial aplikasi TikTok yang dilihat sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

"Video klip yang berdurasi selama 35 saat itu memaparkan tiga anggota polis trafik sedang melakukan pemeriksaan rutin di Jalan Kangar-Alor Setar berhampiran lampu isyarat Simpang Empat, Perlis.

"Malah jelas kelihatan wajah ketiga-tiga orang anggota trafik itu semasa sedang membuat pemeriksaan serta sedang mengeluarkan saman ke atas sebuah lori milik suspek.

"Antara kesalahan yang didapati dilakukan oleh suspek adalah seperti tiada lesen memandu, menampal sesuatu pada cermin, mengubah suai ekzos kenderaan selain menggunakan lampu hadapan yang silau," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, akibat tidak berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan oleh anggota polis trafik itu, suspek bertindak memuat naik video yang mempunyai unsur provokasi dan fitnah.

"Video yang ditularkan itu juga boleh mendatangkan tanggapan buruk masyarakat dan menjatuhkan imej polis di mata masyarakat oleh kerana terdapat beberapa komen negatif berkenaan video itu yang menjatuhkan imej serta maruah pegawai polis yang disiarkan di dalam video berkenaan.

"Oleh hal demikian, susepk direman selama tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998," katanya.

Bagi Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Siasatan turut dijalankan mengikut Sekyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Yusharifuddin menasihatkan masyarakat agar tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh mendatangkan kebencian terhadap pihak berkuasa, khususnya melalui media sosial.

"Tindakan itu boleh menyebabkan tersebarnya kenyataan yang tidak berasas sehingga boleh menghakis keharmonian antara masyarakat dan agensi penguat kuasa khususnya.

"Sekiranya mana-mana pihak tidak berpuas hati dengan apa jua tindakan yang diambil oleh penguat kuasa khususnya polis boleh majukan sebarang pemasalahan yang dihadapi dengan menggunakan saluran yang betul," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 1:19 PM