Rosli Ilham


Dungun: Penternak lembu serta penduduk di kawasan Felda Kerteh 1,4,5, dan 6, bersyukur selepas seekor harimau berjaya ditangkap, kelmarin.

Harimau belang itu berjaya ditangkap di kawasan Felda Kerteh 1, selepas memasuki sebuah perangkap dipasang di situ, kira-kira 12 tengah hari.

Sebelum itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang menerima laporan berhubung kehadiran binatang liar terbabit bertindak memasang perangkap di situ sebelum Ramadan lalu.

Ketika membuat pemantauan dan pemeriksaan, anggota Perhilitan mendapati harimau betina seberat kira-kira 150 kilogram berjaya memasuki perangkap yang dipasang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung JPKK Felda Kerteh 1, Wan Zukri Wan Yusuf berkata, sebelum ini, kehadiran harimau terbabit mendatangkan kerisauan dan kerugian terhadap penternak selepas ternakan lembu mereka dibaham harimau.

HARIMAU betina yang berjaya ditangkap di Felda Kerteh 1. FOTO Rosli Ilham
HARIMAU betina yang berjaya ditangkap di Felda Kerteh 1. FOTO Rosli Ilham

Menurutnya, selain penternak, kemunculan harimau terbabit turut mendatangkan kerisauan penduduk di beberapa kawasan Felda terbabit kerana bimbang akan keselamatan mereka.

"Syukur, apabila seekor harimau berjaya ditangkap dan keadaan itu sekali gus melegakan penternak dan penduduk di sini," katanya.

Tinjauan NSTP mendapati, operasi memindahkan harimau terbabit dimulakan kira-kira 4 petang semalam, membabitkan seramai 25 anggota Perhilitan.

Harimau terbabit dibawa naik ke dalam sebuah lori sebelum dibawa ke Pusat Penyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), di Sungkai Perak, kira-kira 6 petang untuk tindakan lanjut.

Tangkapan itu menjadikan tangkapan yang ketiga di kawasan Felda terbabit selepas tangkapan pertama seekor harimau jantan yang digelar 'Awang Rasau' ditangkap pada Februari 2021 di kawasan Felda Kerteh 2.

Bagaimanapun, usia Awang Rasau tidak bertahan lama dan akhirnya ia mati akibat parah di bahagian belakang dipercayai ditembak pemburu haram.

Lima bulan selepas itu, seekor lagi harimau belang berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang di Ladang Felda Kerteh 4.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 8:41 AM