Makkazen (dua dari kanan) bersama rakannya berbincang mengenai masalah pembayaran baki tertunggak tanah ladang Felda Sungai Buaya.
Makkazen (dua dari kanan) bersama rakannya berbincang mengenai masalah pembayaran baki tertunggak tanah ladang Felda Sungai Buaya.
Oleh Garret Dawum

Hulu Selangor: “Penat saya tunggu baki tunggakan pembangunan tanah ladang yang dijual 21 tahun lalu. Tak kan sampai saya menutup mata seperti rakan lain baru nak bayar,” luah bekas peneroka Felda Sungai Buaya, Makkazen Mazuki, 74.

Dia yang menjadi penduduk di kawasan itu sejak 1964 berkata, masih ada tunggakan RM625,000 setiap peserta yang belum dibayar.

“Asalnya kami dijanjikan pembayaran purata RM1 juta setiap seorang ketika menjual tanah itu pada 1994 seluas tiga hektar. Tapi, sehingga 2010, kami hanya dibayar RM300,000 saja.

“Saya membuat tuntutan ini kerana kini hanya tinggal 50 bekas peneroka yang masih hidup dan semuanya sudah uzur dan tua,” katanya.

Makkazen adalah antara 363 bekas peneroka yang masih gagal mendapat bayaran penuh selepas menandatangani Perjanjian Jual-Beli tanah ladang seluas 1,255 hektar dengan syarikat pengurusan tadbir tanah, Murna Jaya Development (MJD) Berhad yang asalnya bertujuan membangunkan projek Bandar Sungai Buaya.

Bagaimanapun, masih ada 648 hektar tanah belum dimajukan MJD Berhad sebelum 405 hektar daripadanya dirampas kerajaan negeri Selangor pada 2010 kerana gagal membayar cukai.

Tambah Makkazen yang mempunyai enam anak, selepas berasa diri teraniaya dengan pembayaran terakhir dibuat pada 2010, dia bersama beberapa peneroka dan waris membuat beberapa laporan polis dan terkini, di Balai Polis Bukit Sentosa pada 3 Disember 2015.

“Janji bayaran penuh pada 1999, namun sehingga kini masih tertunggak.

“Kalau sudah janji, silalah tunaikan. Kasihanilah kami. Itu saja harapan yang ada dan selesaikan segera baki tunggakan kerana banyak perkara yang boleh kami buat dengan duit itu,” katanya.

Seorang lagi bekas peneroka, Muhamad Dislan Surat, 73, mahu isu tanah berkenaan diselesaikan segera kerana dia semakin uzur dengan masalah buah pinggang yang dihidapinya sejak empat tahun lalu.

Katanya, dia menjalani pembedahan jantung yang menelan kos RM40,000 empat tahun lalu.

“Tengoklah keadaan saya sekarang. Tercungap-tercungap. Sukar untuk bernafas dan banyak bergantung kepada ubat.

“Dulu saya kuat untuk buat apa saja pekerjaan, tetapi kini semuanya tidak kuat. Saya tidak boleh menunggang motosikal lagi.

“Siang malam saya terlantar di atas katil. Tapi saya perlu juga membuka mulut untuk menuntut hak. Kasihanilah kami. Itu saja harapan yang ada,” katanya.

Ahli Lembaga Pengarah MJD Berhad, Anuar Mahad berkata, pihaknya kini menjalankan usaha untuk memulih dan memajukan tanah berkenaan.

“Pihak kami memang melakukan usaha dan tidak pernah lari daripada menyelesaikan isu terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2015 @ 8:20 AM