RELA Hulu Selangor mengagihkan 1,000 bungkusan makanan harian kepada lapan Perkampungan Orang Asli ketika PKP. FOTO Md Fuzi Abd Lateh.
RELA Hulu Selangor mengagihkan 1,000 bungkusan makanan harian kepada lapan Perkampungan Orang Asli ketika PKP. FOTO Md Fuzi Abd Lateh.
Md Fuzi Abd Lateh


BAGI membantu meringankan beban ditanggung rakyat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Hulu Selangor mengagihkan bungkusan makanan kepada 1,000 keluarga Orang Asli di lapan kampung di Hulu Selangor.

Penasihat RELA daerah, Kolonel Kehormat Datuk Ruslee Hashim berkata, mereka berganding bahu menjayakan projek amal bagi membantu Orang Asli di Hulu Selangor.

Katanya, mereka mengadakan bancian dan mengumpul data keluarga yang memerlukan bantuan segera bagi menghulurkan sumbangan keperluan asas seperti beras, gula, tepung. dan minyak masak.

“Pengusaha Restoran Mohd Chan Bukit Beruntung , Datuk Mohd Chan Abdullah bermurah hati menyumbangkan makanan kering dan sudah dimasak untuk kami diagihkan kepada penerima di daerah ini.

“Lapan perkampungan Orang Asli (OA) yang dipilih menerima sumbangan adalah Kampung OA Bukit Manchung, Kampung Buloh Telor, Kampung Tun Razak, Kampung Peretak, Kampung Sungai Kelubi, Kampung Gerachi Jaya, Kampung Serigala dan Kampung Changkat Bintang,

“Kami turun padang bersama Pegawai RELA daerah, Jaafar Abd Rahim dan wakil Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) Hulu Selangor untuk mengagihkan sumbangan barangan makanan harian,” katanya ketika ditemui hari ini.

Ruslee berkata, projek amal RELA itu diadakan secara berfasa sejak PKP dimulakan 18 Mac lalu membabitkan masyarakat Orang Asli, kumpulan barisan hadapan seperti polis, tentera dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan wakil surau di taman dan perkampungan Hulu Selangor.

“Kami akan meneruskan kerja amal ini. Penduduk juga wajar patuh arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 2:24 PM