FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Syalikha Sazili


KERAJAAN digesa supaya tidak menutup pusat tahfiz yang tidak berdaftar sebaliknya dibantu untuk didaftarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi memperkasakan pengajian ilmu agama.

Anggota Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, ia satu kerugian besar sekiranya institusi pengajian agama itu ditutup sedangkan pihak mereka tidak dibantu terlebih dulu bagi membolehkan memenuhi syarat pendaftaran.

“Kerajaan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa supaya pusat tahfiz di Kepong dan lain-lain yang berkaitan bukannya ditutup, tetapi dibantu dan diberi sokongan dari segi material dan pentadbiran.

“Pusat tahfiz ini perlu diperkasakan dan diusahakan pendaftaran mengikut SOP yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, pengetua pusat tahfiz di Kepong yang dipercayai meliwat sembilan pelajarnya berusia 11 hingga 16 tahun selain didapati pusat terbabit juga tidak berdaftar.

Susulan dari itu, Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad, mengarahkan DBKL untuk menutup semua pusat tahfiz yang didapati tidak berdaftar dengan pihak berkuasa serta beroperasi secara haram.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 6:06 PM