Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Johor menerima pelaburan terbanyak daripada jumlah pelaburan keseluruhan RM170 bilion yang berjaya dibawa masuk dari China seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, syarikat petrokimia, Rongsheng Petrochemical Co. Ltd. yang akan melabur kira-kira RM80 bilion di negeri ini seperti diumumkan Anwar sebenarnya sudah menyatakan hasratnya itu kepada kerajaan negeri sejak tahun lalu.

"Perdana Menteri sudah umumkan bahawa selepas lawatannya ke China, sebanyak RM170 bilion pelaburan akan dibawa masuk Malaysia dan kebanyakannya akan dilaksanakan di Johor.

"Beliau juga sudah umumkan, Rongsheng Petrochemical Co. Ltd. iaitu sebuah syarikat petrokimia yang juga antara terbesar di dunia, sudah menyatakan hasrat untuk melabur di Johor khususnya di Pengerang, Kota Tinggi dengan jumlah pelaburan kira-kira RM80 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan bagi melihat kemajuan kerja projek RTS Link Johor Bahru-Singapura di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

"Syarikat ini sebenarnya kita sudah bantu mereka sejak Julai tahun lalu yang mana mereka sudah adakan lawatan beberapa kali ke Pengerang malah sudah mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi. Menteri Besar juga pernah berjumpa wakil syarikat ini di Singapura pada Februari lalu.

"Kami berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, yang sudah bertemu dengan pengurusan atasan syarikat itu di Beijing, China baru-baru ini, selain berjaya untuk mendapatkan komitmen syarikat bagi melabur di Malaysia," katanya.

Menurut Ting Han, sekiranya pelaburan dari syarikat petrokimia itu dapat direalisasikan, ia akan menjadi projek terbesar di negara ini selepas projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) oleh Petronas di Pengerang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 12:46 PM