BAPA saudara Bateh Mangkok menunjukan gambar mendiang yang terkorban dalam Nahas Helikopte di Tanah Perkuburan Kampung Engkaroh Tebekang. FOTO Nadim Bokhari
BAPA saudara Bateh Mangkok menunjukan gambar mendiang yang terkorban dalam Nahas Helikopte di Tanah Perkuburan Kampung Engkaroh Tebekang. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Serian: Penduduk Kampung Engkaroh, Tebakang, di sini, membuat persiapan untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Laskar Kanan Joanna Felicia Rohna yang terkorban dalam nahas helikopter di Lumut, Perak, semalam.

Tinjauan mendapati penduduk mula berkumpul di rumah keluarga mendiang sementara menunggu jenazah yang akan diterbangkan dari Ipoh dijangka tiba malam ini.

Selain itu, kira-kira 20 penduduk turut bergotong-royong menyediakan kubur untuk pengebumian anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu esok.

Bapa saudara mendiang, Bateh Mangkok, 65, berkata, mereka menggali kubur di Tanah Perkuburan Kampung Engkaroh hari ini, bagi memastikan kelancaran upacara pengebumian yang dijadualkan pada jam 9 pagi esok.

"Pemergian anak saudara saya itu memang amat mengejutkan kami dan semua penduduk kampung.

"Kami bersyukur kerana TLDM berusaha menghantar jenazah mendiang balik untuk dikebumikan di sini dan sebagai penghormatan untuknya, penduduk beramai-ramai membantu menyediakan tempat pengebumian mendiang," katanya.

Bateh berkata, majlis doa selamat untuk Joanna akan diadakan di rumah adiknya malam ini.

"Kami akan berkumpul untuk memberi penghormatan terakhir dan mengadakan sembahyang untuknya sebelum pengebumian akan diadakan pagi esok," katanya.

Hasrat untuk melihat mendiang dikebumikan di kampungnya sebelum ini disuarakan adiknya, Honey Viviane, 16.

Menurut Honey, mereka sekeluarga serta penduduk kampung mahu melihat wajah kakaknya itu buat kali terakhir.

"Saya kagum dan bangga dengan kakak kerana memilih bidang ketenteraan sebagai kerjaya.

"Kakak pernah berpesan supaya saya rajin belajar jika mahu mengikut langkah dia menjadi anggota tentera," katanya.

Joanna antara 10 mangsa yang terkorban dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pada jam 9.32 pagi semalam semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang TLDM ke-90.

Mendiang meninggalkan dua anak iaitu perempuan berusia 5 tahun dan seorang lelaki berusia setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 6:51 PM