KRU Helikopter HOM 503, Joanna Felicia (kiri) Noor Rahiza Anuar (tengah) dan Noorfarahimi Mohd Saedy yang terkorban dalam nahas ketika latihan di Lumut. FOTO Ihsan Pembaca
KRU Helikopter HOM 503, Joanna Felicia (kiri) Noor Rahiza Anuar (tengah) dan Noorfarahimi Mohd Saedy yang terkorban dalam nahas ketika latihan di Lumut. FOTO Ihsan Pembaca
BERNAMA

Kuching: "Saya mahu kakak dikuburkan di sini dan mahu melihat dia buat kali terakhir," itu luahan Honey Viviane Francis ketika mengetahui kakaknya Laskar Kelas I JJM Joanna Felicia Rohna terkorban dalam nahas helikopter pagi tadi.

Honey, 16, berkata, berita sedih tentang pemergian kakaknya itu disampaikan oleh ayahnya yang datang ke sekolah untuk memaklumkan kepada dia dan adiknya pada 11 pagi tadi.

"Bapa turut menunjukkan video helikopter yang terhempas itu. Saya terkejut hingga tidak dapat berkata-kata seakan tidak percaya kakak sudah tiada, rasa macam semalam baru berborak dengan dia," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Sumpas Tampek, kira-kira 110 kilometer dari sini.

Pelajar Tingkatan Empat itu berkata, kali terakhir dia bertemu dengan kakaknya pada sambutan Hari Gawai tahun lepas dan pesanan daripada kakaknya agar belajar bersungguh-sungguh serta menjaga ahli keluarga dengan baik masih terngiang-ngiang.

"Dia seorang saja kakak saya...saya sangat sedih tapi reda kerana Tuhan lebih sayangkan dia," katanya dalam nada sayu.

Joanna antara 10 mangsa yang terkorban dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pada 9.32 pagi semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang TLDM ke-90.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Johny Mayi berkata ibu bapa Joanna menerima berita kematian anaknya menerusi panggilan telefon daripada pihak TLDM di Lumut.

"Pada ketika itu, berita kematian anak saudara saya belum dapat disahkan…hinggalah selepas sejam kemudian kami tengok di media sosial.

"Semasa menerima panggilan telefon itu, kami baru sahaja mahu makan tengah hari. Mak Joanna ketika itu terkejut dan tidak percaya dengan kejadian yang menimpa anaknya," katanya.

Johny berkata pada kira-kira 3.30 petang tadi, kedua ibu bapa Joanna telah dibawa oleh pegawai TLDM ke lapangan terbang untuk ke Perak bagi proses pengecaman dan pengurusan jenazah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 10:47 PM