ANWAR (tiga, kiri) pada Sesi Townhall Lebaran Aidilfitri Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) bersama Perdana Menteri di PICC, hari ini. FOTO Bernama.
ANWAR (tiga, kiri) pada Sesi Townhall Lebaran Aidilfitri Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) bersama Perdana Menteri di PICC, hari ini. FOTO Bernama.
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata wujud keperluan untuk menambah bilangan pemimpin wanita bagi menjawat jawatan tertinggi dalam negara seperti ketua setiausaha (KSU) dan ketua pengarah.

Perdana Menteri menjelaskan, ketika ini jumlah pemimpin wanita sedia ada tidak mencerminkan 42 peratus wanita yang berada dalam sektor awam.

"Kalau ditanya, memang tidak cukup dan saya memang ada berbincang dengan KSN (Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali).

"Kita harus cari jalan supaya pimpinan KSU, ketua pengarah itu bertambah (dalam kalangan wanita," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab Townhall Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) Bersama Perdana Menteri di Pusat Kovensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Presiden PPTD, Datuk Seri Isham Ishak.

Pemimpin wanita yang menjawat jawatan penting dalam negara termasuk Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin@Mohd Zainuddin dan Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Sementara itu, hanya dua wanita yang menjawat jawatan KSU iaitu Datuk Maziah Che Yusoff bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Datuk Seri Suriani Ahmad di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Menjawab persoalan bagaimana untuk memperbaiki kelemahan dalam kalangan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD), Anwar berpendapat wujud ruang yang boleh diperbaiki termasuk dari segi tata kelola.

"Saya tidak lihat ada kelemahan, mungkin ambil masa untuk baiki tata kelola, sebab ada kelemahan tata kelola dari atas ke bawah.

"Kita kena beri penekanan sebab saya banyak pengalaman di penjara dan tidak mahu orang ditangkap sebab rasuah," katanya.

Malah, beliau mahu pemimpin tertinggi penjawat awam seperti KSU dan ketua pengarah memberi mesej jelas kepada pegawai bawahan untuk memastikan tata kelola ketika bertugas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 6:34 PM