Samadi Ahmad


Putrajaya: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberikan tempoh sehingga hujung bulan ini kepada semua jabatan menghantar laporan pelaksanaan pusingan kerja membabitkan pegawai di jawatan sensitif.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Ab Rahman berkata, jabatan itu sebelum ini sudah mengeluarkan arahan dan memberi tempoh sebulan kepada semua jabatan untuk melaksanakan pusingan kerja.

Katanya, pihaknya juga sudah mengarahkan semua jabatan melaporkan semula kepada JPA bagi melengkapkan arahan pusingan kerja.

"Melalui laporan ini, kita dapat tahu kedudukan pegawai yang menjawat jawatan sensitif seterusnya dipusingkan kerja," katanya selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Beijing Jiatong University (BJTU) China di sini, tadi.

Turut hadir, Naib Canselor UMP, Prof Dr Wan Azhar Wan Yusoff dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Mohd Rosli Hainin.

MoA bertujuan menjalin kerjasama dalam Program Dual Ijazah UMP-BJTU membabitkan bidang Kejuruteraan Awam, Mekanikal dan Elektrikal yang bakal menyumbang kepada pembangunan industri rel negara.

Baru-baru ini media melaporkan, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali mengarahkan JPA melaksanakan pusingan kerja membabitkan pegawai di jawatan sensitif, susulan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai sindiket kartel projek yang memonopoli tender kerajaan sejak 2014 dengan nilai projek dianggarkan mencecah RM3.8 bilion.

Khairul Adib berkata, pusingan kerja itu bukan sesuatu yang baharu namun kadangkala sesetengah jabatan terlupa untuk melaksanakannya.

Beliau berkata, surat yang dikeluarkan JPA sebelum ini adalah satu peringatan selepas media melaporkan mengenai penyalahgunaan kuasa dalam kalangan kakitangan selepas terlalu lama berada di sesuatu kementerian, jabatan atau agensi kerajaan.

"Kita harap Ketua Setiausaha (KSU) dan Ketua Jabatan membuat laporan segera dan tempohnya akan berakhir hujung bulan ini.

"Sebanyak 50 peratus akan dipusingkan kerja, membabitkan yang lama dan baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 6:57 PM