Azam Baki pada sidang media selepas perasmian Pejabat Suruhanjaya SPRM Cawangan Gua Musang hari ini. FOTO BERNAMA
Azam Baki pada sidang media selepas perasmian Pejabat Suruhanjaya SPRM Cawangan Gua Musang hari ini. FOTO BERNAMA
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil beberapa lagi individu bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen untuk membuat tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sudah berjaya mendapatkan tempoh reman baharu selama sehari lagi hingga esok terhadap suspek bagi melengkapkan siasatan.

"Kes ini sudah pun diketahui umum dan beliau sudah ditangkap semalam serta sudah direman dua hari.

"SPRM sedang menjalankan siasatan dan saya telah dimaklumkan oleh ketua penyiasat kes ini bahawa kemungkinan besar permohonan reman baharu akan dipohon kerana tempoh masa reman yang diberikan tidak mencukupi untuk kita melengkapkan siasatan awal.

"Dan beberapa pihak lain saya jangka kita akan panggil dan mungkin akan dijalankan tangkapan bagi membuktikan kesalahan yang berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pejabat SPRM Cawangan Gua Musang di Ibu Pejabat Kesedar, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan tempoh tahanan reman terhadap anak Menteri Besar dan empat lagi suspek disambung sehari lagi sehingga esok bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor di Mahkamah Majistret Kangar selepas tempoh asal reman kesemua suspek tamat pada hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 3:01 PM