MAJLIS Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) ditubuhkan bagi memperkukuh perpaduan dan integrasi nasional dalam kalangan rakyat di negara ini. FOTO Arkib NSTP
MAJLIS Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) ditubuhkan bagi memperkukuh perpaduan dan integrasi nasional dalam kalangan rakyat di negara ini. FOTO Arkib NSTP
Samadi Ahmad

KEMENTERIAN Perpaduan Negara (KPN) menubuhkan Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) bagi memperkukuh perpaduan dan integrasi nasional dalam kalangan rakyat di negara ini.

KPN dalam kenyataan hari ini berkata, MPPN ini akan dipengerusikan Menteri Kanan (Kluster Pendidikan dan Sumber Manusia) Mohd Radzi Md Jidin, disertai tokoh masyarakat terdiri dari pelbagai sektor termasuk wakil dari badan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta dan individu berpengalaman dalam bidang berkenaan.

"Keahlian MPPN ini dilantik Perdana Menteri, Tan Seri Muhyiddin Yassin bagi tempoh dua tahun.

"Ia dan akan bersidang sebanyak enam kali setahun bagi membincangkan isu perpaduan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum," katanya.

Menurut kenyataan itu, penubuhan ini bertujuan mengemaskini dan menyusun semula struktur jawatankuasa perpaduan sedia ada selaras dengan hala tuju baharu Kerajaan.

Katanya, penubuhan ini juga disokong Jawatankuasa Pelaksana Perpaduan Negara yang dipengerusikan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique di peringkat kementerian.

Sementara, Jawatankuasa Tindakan Perpaduan Negeri pula dipengerusikan oleh ahli Exco Perpaduan Negeri di peringkat negeri masing-masing.

MPPN bertanggungjawab menasihati Kerajaan melalui Kementerian berkaitan hal ehwal perpaduan serta membincangkan isu perpaduan, usaha penyatuan nasional dari pelbagai sudut dan mencadangkan kaedah penyelesaian terbaik bagi menangani isu dan cabaran perpaduan dalam mengukuhkan agenda perpaduan nasional.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 2:23 PM