LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
BERNAMA

Putrajaya: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan membatalkan permit operasi Badan Pengurusan Pengebumian Selain Orang Islam yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (SPP) hingga 28 Jun ini.

Menerusi satu kenyataan, KPN memberitahu SOP pengurusan pengebumian selain orang Islam menetapkan syarat ketat iaitu aktiviti perarakan dan jamuan 'Dine-in' bagi upacara pengebumian tidak dibenarkan.

Bagi pengurusan persiapan mayat serta upacara melepaskan abu mayat adalah dibenarkan dengan tidak lebih lima ahli keluarga manakala aktiviti penghormatan terakhir di rumah kediaman, tanah perkuburan dan krematorium pula dibenarkan dengan tidak lebih 10 ahli keluarga.

Sebelum ini, tular rakaman video memaparkan aktiviti perarakan pengebumian yang berlaku di Taman Samudera di Kedah, manakala 11 lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes sekumpulan individu dipercayai melanggar SOP dengan berarak mengiringi mayat di Jalan Siram, Pulau Pinang.

KPN kesal dengan insiden perarakan mayat di Pulau Pinang dan Kedah yang melanggar SOP itu kerana ia boleh membawa risiko penularan wabak COVID-19 di dalam komuniti.

Menerusi kenyataan sama, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique mengingatkan semua pihak supaya sentiasa bertanggungjawab mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan upacara pengebumian dapat dilaksanakan dalam tempoh sekatan pergerakan penuh.

Berita berkaitan

  • Polis siasat dakwaan individu berarak iringi mayat di Taman Samudera
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 5:53 PM