Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Karnival UNITI Pestabola Merdeka Kuala Lumpur 2023 terus disemarakkan menerusi program Ziarah Kasih dengan kunjungan ke atas tiga legenda bola sepak negara iaitu Khalid Ali, P Darmalinggam dan S Pushpanathan, hari ini.

Program Ziarah Kasih itu dijayakan Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) yang menyantuni tiga legenda itu selain turut menyampaikan sedikit sumbangan buat mereka.

KPN menerusi satu kenyataan berkata karnival yang menjadi tarikan utama ini membuktikan bahawa dalam meraikan perpaduan, legenda yang pernah membawa nama negara ini ke peringkat antarabangsa tidak harus dilupakan.

Malah, ia bukan sahaja bertujuan menyatupadukan masyarakat tetapi juga sebagai usaha untuk terus memperingati sejarah bola sepak Malaysia dengan cara yang bermakna iaitu dengan mengadakan Ziarah Kasih.

HAMIDIN melawat dan menyerahkan sumbangan kepada lagenda bola sepak negara, Khalid Ali di kediamannya di Taman Sri Keramat. -FOTO Saifullizan Tamadi
HAMIDIN melawat dan menyerahkan sumbangan kepada lagenda bola sepak negara, Khalid Ali di kediamannya di Taman Sri Keramat. -FOTO Saifullizan Tamadi

Program Ziarah Kasih ini juga boleh dianggap sebagai satu penghormatan kepada legenda bola sepak Malaysia yang mengukir nama negara di persada dunia.

Ketua Setiausaha KPN, Datuk Azman Mohd Yusof berharap karnival ini akan menjadi

satu detik kebanggaan untuk mengenang jasa legenda bola sepak Malaysia yang mengharumkan nama negara ini ke peringkat dunia.

"Sukan dan perpaduan adalah mesin kekuatan yang membantu menyatukan rakyat dalam kepelbagaian.

"Karnival seumpama ini adalah peluang kita untuk merayakan sejarah bola sepak Malaysia dan mengingatkan kita akan peranan dimainkan legenda dalam pembentukan negara.

"Menerusi acara ini, kita membuktikan bahawa perpaduan adalah jalan kita menuju kejayaan bersama dan terus memperkukuh ikatan kebangsaan dan membawa Malaysia ke arah yang lebih cemerlang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2023 @ 6:29 PM