TANGKAP layar CCTV menunjukkan sekumpulan lelaki membakar anak kucing. FOTO tular
TANGKAP layar CCTV menunjukkan sekumpulan lelaki membakar anak kucing. FOTO tular
Muhaamad Hafis Nawawi


Kajang: Seekor anak kucing melecur teruk selepas dibakar tiga lelaki di parkir motosikal Flat Seri Kenari, di sini, semalam.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia Arie Dwi Andika berkata, tiga lelaki terbabit bertindak membakar anak kucing itu pada 2 petang semalam.

Menurutnya, seorang daripada lelaki itu bertindak kejam membakar anak kucing terbabit, sementara dua lagi rakannya menyaksikan kejadian itu.

"Laporan polis sudah dibuat dan kami meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan atas perbuatan ini.

"Kita khuatir ia petanda awal keparahan kriminologi terhadap haiwan merebak kepada manusia lain akibat tiada langkah pencegahan, hukuman dan koreksional diambil dengan pantas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PDRM boleh mengguna pakai Akta Kebajikan Haiwan 2015 dalam menjalankan siasatan dan mencadangkan pendakwaan kepada pendakwa raya bagi kes jenayah haiwan begini.

"Anak kucing yang dibakar dilaporkan melecur teruk diselamatkan dan dibawa ke veterinar swasta untuk rawatan pemulihan intensif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 5:02 PM