Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kanan) beramah mesra dengan warga tentera yang menerima sumbangan pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kementerian Pertahanan di Kem Kementah hari ini. FOTO BERNAMA
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kanan) beramah mesra dengan warga tentera yang menerima sumbangan pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kementerian Pertahanan di Kem Kementah hari ini. FOTO BERNAMA
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seramai 9,000 pengunjung hadir majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pertahanan di Kem Kementah di sini, hari ini.

Majlis itu dihadiri Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Isham Ishak di Dewan Seroja, Kementah di sini.

Hadir sama Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman, Panglima-Panglima Perkhidmatan, pegawai-pegawai kanan serta warga Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Majlis turut diserikan dengan acara penyampaian sumbangan kepada 40 penerima terdiri daripada golongan asnaf, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) yang terpilih dalam kalangan anggota ATM, ahli Kelab Kakitangan Awam Kementerian Pertahanan (KAKEP), ahli Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) dan veteran ATM.

Dalam senarai penerima, tiga adalah anak-anak veteran ATM yang berjaya menerima biasiswa Yayasan LTAT-IIUM Ummatic serta sumbangan RM50 secara one-off kepada 9,355 anak pegawai dan anggota ATM yang masuk ke tahun satu perseolahan sesi 2024 dengan nilai keseluruhan sebanyak RM467,750.

Terdapat juga sumbangan sebanyak RM300,000 dalam bentuk bantuan kebajikan kepada anak-anak ATM yang kurang upaya seperti autisme, dysparaxia, masalah pembelajaran, mild autisme dan sindrom down.

Majlis itu adalah acara tahunan Kementerian Pertahanan bagi merapatkan ukhwah antara warga di samping meraikan kemeriahan Aidilfitri.

Majlis ini juga adalah pertama kalinya kepada Mohamed Khaled selepas memegang portfolio sebagai Menteri Pertahanan sejak 15 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 4:31 PM