DARI kanan, Fauziah, Azizi, Zu Azhan dan Azani menunjukkan pingat dan anugerah yang dimenangi.
DARI kanan, Fauziah, Azizi, Zu Azhan dan Azani menunjukkan pingat dan anugerah yang dimenangi.
Oleh Gaddafi Musli

Kuala Lumpur

Penyelidik Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa apabila berjaya meraih lapan anugerah termasuk anugerah utama di British Invention Show (BIS) 2014 baru-baru ini.

Lapan produk yang diketengahkan pada acara reka cipta berprestij berkenaan berjaya meraih empat pingat emas, dua perak dan dua gangsa, sekali gus membuktikan ahli akademik tempatan berupaya menghasilkan penyelidikan bertaraf dunia.

Lebih membanggakan, produk dikenali sebagai ‘D-Cell: Defence Cell Culture’ ciptaan Prof Madya Dr Azizi Miskon dari Fakulti Kejuruteraan UPNM meraih anugerah utama iaitu International Invention of the Year-Platinum Award selain menerima Piala Pusingan ‘King Hamad International Award for Invention’ yang julung kali dianugerahkan pada acara berkenaan.

“Anugerah ini bukan saja pengiktirafan kepada saya dan UPNM, malah membuktikan rakyat Malaysia tidak terpinggir daripada teknologi terkini khususnya membabitkan sel stem,” katanya ketika ditemui di kampus UPNM, Sungai Besi.

Menurutnya, produk D-Cell hasil penyelidikan selama tujuh tahun bertujuan meningkatkan sistem pertahanan imun badan dengan meningkatkan kadar pertumbuhan sel.

Selain itu, ia juga boleh digunakan dalam penghasilan organ bioartificial, sekali gus memberi harapan baru kepada pesakit hilang upaya atau penghidap penyakit tanpa rawatan.

Kecemerlangan UPNM dalam acara tahunan itu diteruskan dengan kemenangan Prof Dr. Fau ziah Abdul Aziz daripada Pusat Asasi Pertahanan yang merangkul International Invention of the Year-Double Gold Award bagi produk Cellulose Micro/Nano Fibril berserta pingat emas.

“Produk ini hasil penyelidikan terhadap tumbuh-tumbuhan tropika seperti pokok pisang di mana kaedah kimia digunakan untuk menghasilkan komposit nano yang tujuh kali ganda lebih kuat daripada besi keluli,” katanya.

Bagi Prof Dr Muhd Zu Azhan Yahya yang pertama kali menyertai pameran reka cipta di luar negara, beliau berharap kemenangan mereka menjadi pemangkin semangat saintis tempatan.

Dia mengetengahkan produk ‘Green Cellulose – Based Air Battery’ iaitu teknologi penghasilan bateri mesra alam menggunakan tumbuh-tumbuhan yang menarik perhatian juri pameran kerana potensi komersial tinggi.

Seorang lagi pemenang pingat emas adalah Muhamad Azani Yahya menerusi produk ‘Green Retarder for Concrete’ yang digunakan dalam industri pembinaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 5:10 AM