Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah diiringi Sultanah Hajah Haminah berangkat pada Istiadat Menjunjung Duli sempena Keberangkatan Pulang Sultan Kedah sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit di sini, hari ini. FOTO Amran Hamid
Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah diiringi Sultanah Hajah Haminah berangkat pada Istiadat Menjunjung Duli sempena Keberangkatan Pulang Sultan Kedah sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit di sini, hari ini. FOTO Amran Hamid
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah menitahkan kerajaan negeri supaya sentiasa peka dengan permasalahan rakyat, sekali gus cuba menanganinya demi kepentingan mereka.

Baginda juga mahu kerajaan negeri membangunkan lebih banyak projek yang memberi manfaat secara terus kepada rakyat selain mengamalkan perbelanjaan berhemah ketika keadaan ekonomi negara yang lembap kini.

“Beta berharap kerajaan beta peka terhadap permasalahan dihadapi rakyat, sekali gus cuba tangani dan meringankannya.

“Sentiasalah memelihara perpaduan dan permuafakatan semua pihak dan beta berharap pertumbuhan ekonomi Kedah akan terus aman demi kemakmuran dan kesejahteraan seluruh rakyat, " titahnya.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menjunjung Duli sempena Keberangkatan Pulang Sultan Kedah sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit di sini, hari ini.

Turut berangkat Sultanah Kedah Sultanah Hajah Haminah Hamidun; Raja Muda Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah dan Raja Puan Muda Kedah Puan Sri Tengku Maliha Tengku Ariff.

Tunku Panglima Besar Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim; Tunku Laksamana Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah; Raja Dihilir Perak Tan Sri Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris A'fifullah Shah dan Raja Puan Muda Perak Tan Sri Tunku Soraya Sultan Abdul Halim turut berangkat ke istiadat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 5:33 PM