FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Akif Sayyid Mohd Hazardi


Kuala Lumpur: Sebanyak 1,698 kes demam denggi pada Minggu Epidemologi (ME) ke-15 iaitu 7 April hingga 13 April lepas berbanding 2,487 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata terdapat satu kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan bagi ME ke-15 ini.

Katanya, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME ke-15 adalah sebanyak 48,329 kes berbanding 33,325 kes bagi tempoh sama tahun 2023.

"Terdapat 35 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 21 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2023.

"Sebanyak 107 lokaliti hotspot yang dilaporkan pada minggu ini berbanding 119 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

"Dari jumlah keseluruhan lokaliti yang dilaporkan, 87 lokaliti di Selangor, sembilan lokaliti di WPKL dan Putrajaya, empat lokaliti di Pulau Pinang, dua lokaliti di Kedah serta masing-masing satu lokaliti di Perak, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak dan Sabah," katanya menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, beliau berkata suvelan chikungunya pula direkodkan sebanyak dua kes dan terdapat satu wabak Chikungunya masih aktif pada minggu ini, menjadikan jumlah kumulatif sehingga kini adalah 23 kes.

"Bagi survelan zika, sebanyak 740 sampel darah dan empat sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya negatif.

"Sepanjang perayaan Aidilfitri, aktiviti kunjung mengunjung dan rumah terbuka adalah tradisi yang diamalkan di Malaysia bagi mengeratkan perpaduan dan silaturahim.

"Peningkatan pergerakan disebabkan aktiviti ini akan meningkatkan risiko jangkitan terutama di lokaliti yang mempunyai kepadatan nyamuk Aedes yang tinggi apabila terdapat banyak tempat pembiakan di persekitaran," katanya.

Selain itu, beliau berpesan supaya mengamalkan langkah-langkah pencegahan gigitan nyamuk menggunakan bahan penghalau nyamuk (repelan).

"Tutup anggota badan yang terdedah seperti memakai baju lengan panjang dan seluar panjang terutama berada di luar rumah pada waktu puncak gigitan nyamuk Aedes.

"Layari laman sesawang iDengue https://idengue.mysa.gov.my bagi mendapatkan status kejadian kes demam denggi, wabak serta hotspot di lokaliti kediaman anda serta lokaliti yang dilawati.

"Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 12:03 PM