GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Kes demam denggi di negara ini meningkat sebanyak 249 kes atau 13 peratus menjadikan jumlah keseluruhan 2,159 kes berbanding 1,910 pada minggu sebelumnya dengan dua kematian dilaporkan minggu ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan berkata, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah 11,127 kes berbanding 3,573 kes bagi tempoh sama tahun lalu iaitu peningkatan 7,554 kes atau 211.4 peratus.

"Sebanyak enam kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding sifar kematian bagi tempoh yang sama tahun lalu.

"Sebanyak 82 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 79 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 45 lokaliti hotspot berada di Negeri Selangor, 22 lokaliti di Sabah, 13 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Putrajaya dan dua di Pulau Pinang.

"Sementara Survelan chikungunya merekodkan 20 kes pada minggu kelima tahun ini dengan 10 kes dari Kedah, lima dari WPKL dan Putrajaya, masing-masing dua dari Pulau Pinang dan Pahang dan satu kes dari Selangor. Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 72 kes," katanya.

Menerusi kenyataan sama, KKM memaklumkan bagi kes survelan zika, sebanyak 225 sampel darah dan satu sampel urin sudah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

"Cuti akhir persekolahan sesi ajaran 2022 akan bermula 17 Februari ini. Pada masa sama, sebahagian pelajar sekolah menengah sedang mengikuti pelajaran secara dalam talian kerana ruangan kelas digunakan bagi ujian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 30 Januari hingga 15 Mac depan.

"Oleh itu, pihak sekolah serta kontraktor pembersihan yang dilantik disarankan untuk melakukan beberapa tindakan bagi mengawal dan menurunkan populasi nyamuk di sekolah semasa cuti sekolah. Gunakan bahan pembunuh jentik-jentik di dalam pam tandas, tangki air dan kolam hiasan," katanya.

Selain itu, pastikan tiada air bertakung di alas pasu, tempat sampah, kon dan mesin penapis air, lupuskan barang lusuh dan hapuskan bekas potensi pembiakan nyamuk Aedes dengan cara berhemah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2023 @ 11:39 AM