Ahmad Hasbi


Seremban: Lapan anggota polis dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan menyimpan bahagian badan pelanduk tanpa lesen.

Tertuduh Rusli Che Omar, 42, Jafri Md Taib, 49, Mohamed Khalid Ibrahim, 50, Azaruddin Yahaya, 40, Mohd Izammudin Zainol, 38, Mohd Yusof Mohamed Yunos, 39, Mahadir Osman, 41, dan Jasius Joseph, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mazni Nawi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama telah didapati menyimpan tanpa lesen lapan bahagian pelanduk iaitu hidupan liar yang dilindungi di bawah Jadual Pertama, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) di dalam sebuah tong yang diletakkan di bahagian belakang sebuah kenderaan jenis Land Rover.

Perbuatan itu dilakukan di tepi jalan di Kampung Talang, Empangan Talang, Kuala Pilah, pada jam 1 tengah hari, 17 Januari 2021.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 60(1)(b) Akta 716 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 60(1) Akta 716 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Amanina Mohamad Anuar menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap tertuduh.

LAPAN anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan menyimpan bahagian badan pelanduk tanpa lesen. FOTO Azrul Edham
LAPAN anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan menyimpan bahagian badan pelanduk tanpa lesen. FOTO Azrul Edham

Peguam Hanif Hassan mewakili Jafri manakala tertuduh lain tidak diwakili peguam merayu wang jaminan sebanyak RM2,000 kerana masing-masing mempunyai tanggungan.

Selepas mempertimbangkan rayuan, mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM2,000 seorang dan sebutan semula bagi serahan dokumen ditetapkan pada 12 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 11:52 AM