Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hasim (dua,kiri) ketika menyerahkan surat aduan mengenai kes pelaburan meragukan kepada wakil Peguam Negara yang diwakili oleh Ketua Unit Komunikasi Strategik Jabatan Peguam Negara Hasniza Harun (empat,kanan)  di Jabatan Peguam Negara hari ini. FOTO BERNAMA

BERNAMA

Putrajaya: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini meminta Jabatan Peguam Negara mengkaji semula laporan 500 mangsa penipuan pelaburan supaya ia disiasat mengikut salah laku jenayah.

Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim berkata ia susulan kes mereka dipercayai dipindahkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan tidak lagi disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Saya rayu Peguam Negara nilai semula kes ini dan untuk menilai semua surat aduan setiap mangsa. Kita juga minta Peguam Negara nilai representasi undang-undang yang kita sediakan.

"Kita rayu pertimbangkan kuasa budi bicara supaya kes ini disiasat secara jenayah di bawah Seksyen 420, 415 dan 419 Kanun Keseksaan dan mengeluarkan satu arahan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM iaitu perintah untuk menyiasat supaya siasatan dapat dibuka semula tidak hanya dirujuk kepada agensi lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai kira-kira 100 mangsa penipuan pelaburan untuk menyerahkan surat aduan kepada wakil Jabatan Peguam Negara di sini hari ini.

Sebelum ini, MHO dilapor mendedahkan taktik syarikat pelaburan yang dikesan menggunakan nama tokoh korporat terkenal selain menawarkan dividen tinggi sehingga 3.3 peratus sebulan bagi memperdaya mangsa.

PDRM dilaporkan telah menerima 547 laporan berhubung kes penipuan oleh tiga syarikat pelaburan dan sebanyak 62 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 9:42 PM