PENUMPANG menyemak jadual penerbangan di skrin ekoran terdapat perubahan jadual itu berikutan letusan gunung berapi di Gunung Ruang, Indonesia ketika tinjauan di Lapangan Terbang Sandakan. FOTO BERNAMA
PENUMPANG menyemak jadual penerbangan di skrin ekoran terdapat perubahan jadual itu berikutan letusan gunung berapi di Gunung Ruang, Indonesia ketika tinjauan di Lapangan Terbang Sandakan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: AirAsia akan menyediakan pilihan kepada penumpang yang penerbangannya dibatalkan akibat letusan Gunung Ruang di Kepulauan Sulawesi Indonesia, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bo Lingam.

Beliau berkata, penumpang boleh meminda penerbangan mereka dengan membuat perubahan sekali sahaja kepada mana-mana tarikh perjalanan baharu untuk laluan yang sama dalam tempoh 30 hari dari tarikh berlepas asal tanpa kos tambahan dan tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.

"Mereka juga boleh mengekalkan nilai tempahan penerbangan dalam akaun ahli 'AirAsia Rewards' untuk perjalanan akan datang dengan AirAsia, yang perlu ditebus dalam tempoh 2 tahun dari tarikh pengeluarannya.

"Penumpang boleh memilih tarikh baharu perjalanan pada mana-mana tarikh dalam jadual penerbangan yang ada di airasia.com," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Penerbangan pergi balik sembilan lapangan terbang termasuk Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Labuan, Miri, Sibu, Bintulu, Kuching dan Brunei akan terjejas oleh pembatalan yang bermula 10 pagi hari ini hingga 8 pagi 19 April.

Penumpang AirAsia yang melakukan perjalanan pada dan dari destinasi yang terjejas boleh menyemak status penerbangan terkini mereka di airasia.com/flightstatus.

Selain itu, Bo Lingam berkata, penumpang yang ingin melakukan perubahan tempahan secara dalam talian boleh berbuat demikian di airasia.com atau AirAsia MOVE.

"Daripada kategori yang tersedia, penumpang boleh klik pada 'Perubahan Tempahan' kemudian 'Perubahan Penerbangan' dan akhir sekali 'Penerbangan saya telah ditukar oleh AirAsia'. Dari situ, cuma ikut arahan untuk membuat perubahan pada tempahan anda.

"Kami faham bahawa ini mungkin menyusahkan penumpang dan kami memohon maaf atas gangguan terhadap rancangan perjalanan mereka. Bagaimanapun, keselamatan penumpang dan kru kami menjadi suatu keutamaan dan kami menghargai pemahaman dan kerjasama penumpang pada ketika ini," katanya.

Syarikat penerbangan itu, menurut Bo Lingam, akan terus memantau keadaan dengan teliti dan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan, termasuk pihak berkuasa Penerbangan Awam Malaysia untuk menilai keadaan sebelum menyambung semula operasi ke destinasi yang terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 4:57 PM