Mohd Amin Jalil


Rembau: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) sudah menyantuni lebih 70,000 individu di seluruh negara dan menyalurkan sumbangan lebih RM5 juta menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang tahun ini.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, sumbangan diberikan dalam bentuk barangan keperluan asas menerusi Projek Barang Asas 100 (BA100).

"Sumbangan itu diberikan bukan sahaja kepada ahli koperasi yang terkesan banjir, tetapi mereka yang terkesan dengan Covid-19 termasuk petugas barisan hadapan seperti kakitangan hospital dan anggota keselamatan.

"Ia termasuk juga anggota tentera, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta petugas media.

"Sasaran utama kita adalah ahli koperasi dan mereka yang terbabit secara langsung dalam membantu meringankan beban rakyat termasuk bagi aktiviti sukarelawan membersihkan kediaman mangsa banjir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas bernilai RM5,000 kepada 100 penduduk yang ditimpa banjir baru-baru ini, di Surau Haji Mohd Taf, Kampung Kundur Ulu, Pedas, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Angkasa Negeri Sembilan Datuk Ibrahim Abdullah dan Pengerusi Koperasi Kariah Masjid Kundur Ulu Rembau, Zubir Jamal.

Abdul Fattah berkata, sebagai badan gerakan koperasi terbesar yang diiktiraf kerajaan, pihaknya menyeru warga koperasi supaya sama-sama memainkan peranan aktif menggerakkan anggota untuk membantu masyarakat yang memerlukan.

Beliau berkata, tumpuan harus diberikan kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dengan terkesan dengan apa juga musibah terutama banjir dan Covid-19.

Menurutnya, koperasi yang terjejas perniagaan akibat musibah banjir turut disaran memohon bantuan sehingga RM30,000 yang disediakan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

"Inisiatif menerusi Tabung Bantuan Bencana itu boleh dimohon setiap anggota koperasi menerusi sistem dalam talian SKM.

"Tabung ini memberikan bantuan kewangan sehingga RM30,000 dengan syarat perlu mengemukakan laporan polis beserta gambar dan jumlah anggaran kerosakan premis atau tapak perniagaan ketika banjir," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Fattah menggesa setiap koperasi mendaftarkan senarai sukarelawan masing-masing, bagi memudahkan kerja membantu masyarakat yang ditimpa musibah.

ABDUL Fattah (tengah) menyerahkan keperluan barangan asas kepada mangsa banjir. FOTO Mohd Amin Jalil
ABDUL Fattah (tengah) menyerahkan keperluan barangan asas kepada mangsa banjir. FOTO Mohd Amin Jalil

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 3:38 PM