SITI Nur Hanim bersama anaknya sedang mengemas barangan bantuan di PSS. FOTO Nurul Najwa Mohd Noordin
SITI Nur Hanim bersama anaknya sedang mengemas barangan bantuan di PSS. FOTO Nurul Najwa Mohd Noordin
Mahaizura Abd Malik dan Nurul Najwa Mohd Noordin


Kuala Selangor: "Saya sudah lali dengan banjir, tak tahu nak cakap apa lagi. Reda sajalah." Itu kata-kata salah seorang penduduk Kampung Merbau Indah Tambahan, Desa Coalfields, di sini, hari ini.

Siti Nur Hanim Junaidi, 42, berkata, dia sudah biasa berhadapan kejadian banjir di kawasan perkampungannya sejak 2018 lagi.

"Dalam setahun boleh terjadi banjir dalam lima hingga enam kali.

"Tetapi tidak sangka tahun ini paling teruk sekali," katanya ketika ditemui Harian Metro di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfields.

Kejadian banjir yang melanda kawasan itu menyebabkan 54 penduduk daripada 15 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) untuk berteduh.

Kata Hanim, dia hanya sempat menyelamatkan dokumen penting kerana paras air naik terlalu laju bermula 4.30 petang semalam.

"Saya tidak sempat kemas barangan rumah kerana air sudah naik sehingga paras peha, elektrik juga terputus serta-merta.

"Barangan perabot dalam rumah saya rosak," katanya.

Dia berkata, hajatnya tidak kesampaian untuk menyambut rakannya dari Kuala Lumpur yang ingin beraya di rumahnya semalam.

"Rakan saya membuat panggilan kerana ingin beraya di sini selepas bertolak dari Kuala Lumpur pada jam 5 petang, tetapi air sudah mula naik pada waktu itu.

"Jadi saya terpaksa menyuruhnya pulang semula kerana keadaan yang tidak mengizinkan.

"Saya rasa amat bersalah tetapi terpaksa memintanya berpatah balik kerana keadaan yang tidak mengizinkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 3:52 PM