KRISTINA (dua dari kanan) bersama ahli The Women of Orang Asli Tapah membuka reruai produk kecantikan yang dihasilkan mereka sendiri pada Karnival Usahawan Orang Asli 2023 di Sungai Besar, Selangor pada 21 hingga 23 Julai tahun lalu.
KRISTINA (dua dari kanan) bersama ahli The Women of Orang Asli Tapah membuka reruai produk kecantikan yang dihasilkan mereka sendiri pada Karnival Usahawan Orang Asli 2023 di Sungai Besar, Selangor pada 21 hingga 23 Julai tahun lalu.
Oleh Muhamad Lokman Khairi


Tapah: Sekumpulan 16 wanita Orang Asli suku Semai di Kampung Batu 10, Jalan Pahang di sini, mencipta sendiri produk penjagaan kulit menggunakan bahan organik sebagai inisiatif meningkatkan pendapatan keluarga sejak dua tahun lalu.

Penasihat Koperasi Wanita Orang Asli Semai Tapah Berhad, Kristina Bah Uda berkata, mereka terdiri suri rumah, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) berusia antara 18 hingga 52 tahun berjaya menghasilkan sabun, topeng muka, pelembap bibir, body scrub, face oil dan minyak wangi menggunakan bahan berasaskan makanan seperti kopi, serbuk kunyit dan bijirin oat.

Menurutnya, kemahiran dan idea perniagaan itu tercetus sebaik sahaja mereka dipelawa oleh Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) mengikuti program pemerkasaan Orang Asli dengan bimbingan Pengarah Quetra Consultancy, Mourhrna Anetha Reddy pada Jun 2022.

"Kami dilatih secara hands-on untuk menyediakan produk kecantikan menggunakan kudrat tangan tanpa memerlukan mesin canggih.

"Hasilnya kami dapat pasarkan ketika menyertai Karnival Usahawan Orang Asli di Sungai Besar, Hari Koperasi Malaysia di Dewan Merdeka Tapah, Hari Kebudayaan Orang Asli di Seri Iskandar dan Hari Komuniti HRD Corp.

"Jumlah pendapatan koperasi kini sudah pun mencecah lebih empat angka menerusi jualan secara terus dan sekarang kami giat mempromosikan produk kecantikan ini di media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok serta platform e dagang, Shopee," katanya.

Beliau berkata, mereka yang juga dikenali sebagai 'The Women of Orang Asli Tapah' itu berterima kasih kepada Kerajaan Perak melalui PASAK atas langkah berkesan dalam pelaksanaan program meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi peluang pekerjaan kepada golongan wanita.

"Kehidupan sebagai wanita terutama orang asli sememangnya lebih tertumpu kepada rumah tangga. Program sebegini membuatkan pemikiran kami lebih terbuka kepada dunia luar.

"Selain menguruskan keperluan di rumah, kami juga boleh menjana pendapatan tambahan di samping berasa teruja dengan pembahagian tugasan seperti kewangan, perolehan, pemeriksaan kualiti, pembuatan, jualan dan pemasaran.

"Biasanya cerita berkenaan wanita ni walau sehingga sekarang stigma terhadap wanita apatah lagi orang asli sebenarnya sangat tebal, kewujudan koperasi ini antara lain bertujuan membuktikan bahawa persepsi itu sangat salah dan supaya kami masyarakat suku Semai lebih maju ke depan," kata.

PASAK antara peneraju flagship Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat selain menyokong agenda Santuni Orang Asli dalam pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Kristina berkata, bagi memantapkan Koperasi Wanita Orang Asli Semai Tapah Berhad, mereka turut mendapatkan khidmat nasihat serta mengikuti kursus anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) bagi memastikan hal penting seperti pentadbiran dan pengauditan koperasi berjalan secara sistematik juga telus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 7:00 AM