NORANITA (kanan) dan Muhammad Afnan (dua dari kanan) membuat kuih bahulu.
NORANITA (kanan) dan Muhammad Afnan (dua dari kanan) membuat kuih bahulu.
PESERTA mendengar penerangan mengenai tanaman cendawan tiram.
PESERTA mendengar penerangan mengenai tanaman cendawan tiram.
PESERTA melawat ladang nanas di Kampung Selabak, Teluk Intan.
PESERTA melawat ladang nanas di Kampung Selabak, Teluk Intan.
Mohamad Hussin


Maktab Koperasi Malaysia (MKM) menganjurkan Kursus Penyediaan Pakej Agro Pelancongan bagi memberi pendedahan kepada peserta mendalami dengan lebih dekat bidang pertanian.

Seramai 32 peserta membabitkan 22 koperasi di seluruh negara dibawa melawat beberapa lokasi di sekitar Teluk Intan, Perak bagi mempromosikan sektor agropelancongan di negeri itu.

Antara lokasi yang dilawati ialah perternakan kambing boer, tanaman padi, ladang cili dan rock melon, ladang nanas, perusahaan seramik dan labu tanah serta penanaman cendawan tiram.

Program empat hari tiga malam itu banyak memberi pendedahan dan pengalaman baru kepada koperator yang mahu berkecimpung dalam bidang agropelancongan.

Pengarah Sektor Pelancongan, Penjagaan Diri dan Kesihatan MKM Noranita Mohd Nor berkata, MKM satu-satunya institusi latihan dan pendidikan koperasi di Malaysia.

Beliau berkata, MKM berfungsi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Objektif kursus ini adalah untuk memberi pengetahuan dan pendedahan kepada koperasi konsep dan jenis pakej agropelancongan serta menerangkan kaedah penyediaan pakej agropelancongan.

“MKM menyasarkan peserta terdiri daripada pengurus dan kakitangan koperasi, jawatankuasa kecil projek pelancongan serta anggota lembaga koperasi.

“Visi yang diperjuangkan MKM menjadi platform penting yang berfungsi sebagai pusat rujukan dan pembangunan modal insan koperasi yang unggul dengan menawarkan pelbagai jenis kursus termasuk di bidang pelancongan,” katanya selepas sesi lawatan di Teluk Intan, Perak, baru-baru ini.

Hadir sama, pensyarah MKM Muhammad Afnan Hasim dan Pengerusi Koperasi Bekas Tentera Teluk Intan Berhad Kapten (B) Tasuki Kasbi.

Noranita berkata, bertepatan dengan tema kursus iaitu agro pelancongan, peserta dibawa ke beberapa tempat di sekitar Teluk Intan, Perak bagi mendapatkan informasi.

“Peserta juga turut didedahkan mengenai industri pelancongan, jenis agro pelancongan serta kaedah penyediaan pakej agropelancongan yang lengkap.

“Kebanyakan koperasi yang hadir berkursus di bawah Sektor Pelancongan, Penjagaan Diri dan Kesihatan MKM akan diberi bimbingan supaya koperasi dapat meningkatkan pendapatan melalui aktiviti pelancongan.

“Sektor ini menawarkan 45 kursus yang tertumpu kepada tiga bidang utama iaitu pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan,” katanya.

Sementara itu, peserta dari Koperasi Keluarga Hajah Che Me Melaka Berhad, Sharifah Nur Afiqah Syed Alias, 29, berkata, kursus itu banyak membantu koperasi memantapkan aktiviti pelancongan dan dapat menjana pendapatan koperasi.

“Saya lihat program ini dapat memberi pendedahan kepada koperasi untuk mengembangkan perniagaan masing-masing. Agropelancongan antara bidang yang sangat baik untuk diketengahkan,” katanya.

Bagi peserta dari Koperasi Perkasa Malaysia Berhad, Mohd Shariff Apen, 59, berkata, aktiviti itu dapat memberi gambaran kepadanya untuk menyediakan pakej agropelancongan.

“Modul yang dibuat MKM sangat baik dan dapat kembangkan lagi koperasi saya pada masa akan datang. Kami dapat lihat banyak hasil pertanian, penternakan serta kraf yang boleh dijadikan produk agropelancongan.

“Ia juga boleh dijadikan pakej pelancongan yang cukup menarik untuk menarik minat pelancong dalam dan luar negara ke destinasi di seluruh Malaysia,” katanya.

Koperasi atau individu yang berminat untuk menyertai kursus di bawah Sektor Pelancongan, Penjagaan Diri dan Kesihatan, boleh menghubungi MKM di alamat e-mel [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 11:37 AM